PETALING JAYA: Penyanyi, Anis Suraya meluahkan rasa syukur apabila berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00 dalam Ijazah Sarjana dalam bidang Seni Persembahan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Lebih bermakna, Anis atau nama sebenarnya, Tengku Ani Soraya Tengku Abdullah Sulaiman, 46, memaklumkan bahawa kejayaan tersebut didedikasikan buat Allahyarham bapanya yang tercinta.
“Alhamdulillah, syukur. Keputusan akhir CGPA 4.00. Saya dedikasikan buat arwah abah yang tercinta,” katanya menerusi perkongsian di Instagram.
Dalam hantaran sama, Anis turut merakamkan penghargaan kepada barisan pensyarah yang banyak membimbingnya sepanjang tempoh pengajian dan keluarga yang sentiasa memberi sokongan.
“Terima kasih kepada pensyarah UPSI atas bimbingan sepanjang pengajian, kepada suami dan anak-anak atas pengertian dan sokongan, Anis Ctr Fans, keluarga, sahabat dan rakan seperjuangan yang sentiasa mendoakan saya,” katanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Cinta Tersimpul Rapi itu berharap ilmu yang diperoleh sepanjang pengajian dapat dimanfaatkan dan dikongsikan dengan pelajar serta generasi pencinta seni.
Penyanyi itu turut memaklumkan bakal menghadiri sidang pertama Istiadat Konvokesyen UPSI pada 25 November ini.











