PULAU INDAH: Rangkaian peruncitan Jepun, Daiso Malaysia Group Sdn. Bhd. (Daiso), membuka Pusat Pengedaran Global (GDC) bernilai RM1.2 bilion di Taman Perindustrian Samudera, Pulau Indah sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur antarabangsa terhadap kesiapsiagaan infrastruktur Malaysia dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab rantaian bekalan serta logistik serantau.
Kemudahan seluas 133,666 meter persegi (kira-kira 1.33 juta kaki persegi) itu merupakan gudang terbesar Daiso di seluruh dunia, mengatasi saiz fasilitinya di Hiroshima, Jepun.
Pusat berkenaan akan menjadi pangkalan utama operasi logistik kumpulan itu bagi 27 negara di Asia dan Asia Barat, dengan keupayaan mengendalikan lebih 1,000 kontena barangan keperluan rumah, alat tulis dan gaya hidup pada satu-satu masa.
Komitmen pelaburan Daiso bersama keputusan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS), Google untuk melabur AS$15 bilion (RM61 bilion) di Petaling Jaya yang diumumkan sehari sebelumnya, membuktikan keupayaan Malaysia berkembang sebagai pangkalan serantau bernilai tinggi dalam sektor teknologi, perdagangan dan logistik.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, keputusan Daiso membangunkan hab logistik terbesarnya di Pulau Indah memberi isyarat jelas kepada pelabur antarabangsa mengenai kesiapsiagaan infrastruktur Malaysia.
Katanya, Kementerian Pengangkutan sedang mempercepat pendigitalan dokumentasi perdagangan dan proses pelepasan kargo menerusi Malaysia Maritime Single Window bagi memendekkan tempoh pengendalian kapal di pelabuhan.
“Pembangunan pelabuhan termasuk peluasan Westports 2 yang akan meningkatkan kapasiti daripada 14 juta kepada 28 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU), selain perancangan pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, akan memperkukuh kedudukan Pelabuhan Klang sebagai antara 10 hab pemindahan kontena paling sibuk di dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pembukaan Pusat Pengedaran Global (GDC) Daiso baharu di Pulau Indah, di sini.
Pusat berkenaan akan berfungsi sebagai hab logistik utama Daiso bagi urusan penerimaan dan penghantaran barangan, menghubungkan operasi pembuatan di Jepun, China serta pembekal global lain dengan 27 negara di seluruh Asia dan Asia Barat..
Pada majlis sama, Daiso turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan PKT Logistics (M) Sdn. Bhd. bagi kerjasama pengurusan gudang bersepadu dan perkhidmatan penghantaran kargo serantau.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh integrasi pengangkutan domestik serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan dalam bidang khusus kejuruteraan rantaian bekalan.-UTUSAN











