GERIK: Pendakwah terkenal, Ustaz Wadi Annuar antara lima individu yang cedera dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik-Jeli, di sini awal pagi tadi.
Kejadian sekitar pukul 2.40 pagi itu membabitkan kereta jenis Toyota Vellfire dinaiki pendakwah berusia 43 tahun itu dengan sebuah Perodua Myvi dan Perodua Bezza.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik diatur gerak ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.
Katanya, kemalangan itu menyebabkan Perodua Myvi terbabas ke dalam longkang dengan seorang penumpang lelaki berusia 25 tahun tersepit di bahagian hadapan kenderaan.
“Pemandu Myvi, lelaki berusia 24 tahun, mengalami kecederaan parah manakala seorang lagi penumpang belakang berusia 24 tahun cedera ringan.
“Empat individu yang menaiki Toyota Vellfire pula terdiri daripada dua mangsa cedera dan dua lagi tidak mengalami kecederaan. Kesemua mereka dikeluarkan orang awam sebelum jentera bomba tiba,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, pemandu Myvi dan dua mangsa cedera dari Toyota Vellfire dibawa ke Hospital Gerik menggunakan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ketibaan pasukan bomba.
Katanya, anggota bomba kemudian menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat khas sebelum mangsa berkenaan berjaya dikeluarkan.
“Mangsa yang tersepit mengalami kecederaan parah manakala dua lagi mangsa dari Perodua Myvi dibawa ke Hospital Gerik menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) untuk rawatan lanjut.
“Tiga individu yang menaiki Perodua Bezza dilaporkan tidak mengalami kecederaan,” katanya. – UTUSAN











