Perancis perketat kawalan tahap tinggi hadapi gelombang protes baharu - Utusan Malaysia

Perancis perketat kawalan tahap tinggi hadapi gelombang protes baharu

PROTES kos sara hidup diadakan di Paris pada minggu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Perancis mempertingkatkan kawalan ke tahap tertinggi menjelang demonstrasi di seluruh negara pada Sabtu, dengan kerajaan berkemungkinan melarang perhimpunan diadakan.

Menteri Perwakilan di Kementerian Dalam Negeri, Jean-Didier Berger berkata, tahap kewaspadaan keselamatan berada pada tahap maksimum menje­lang demonstrasi hari ini.

“Kami berada pada tahap kewaspadaan maksimum menjelang 24 Oktober,” katanya kepada penyiar BMFTV kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, kerajaan tidak menolak sebarang kemungkinan melarang demonstrasi, acara kebudayaan dan sukan dalam beberapa hari atau minggu akan datang, sekiranya langkah itu dianggap perlu.

Berger berkata, jumlah anggota keselamatan yang dikerahkan pada Sabtu akan ditingkatkan sebanyak 20 peratus berbanding 17 Oktober lalu.

“Kami membatalkan cuti dan memanggil semula anggota yang sepatutnya bercuti. Mereka tidak lagi dibenarkan bercuti,” katanya.

Pasukan tentera Sentinelle turut dikerahkan bersama unit khas, termasuk unit intervensi tentera GIGN dan unit taktikal polis RAID.

Demonstrasi di seluruh Perancis pada 17 Oktober lalu diadakan bagi membantah pe­ningkatan kos sara hidup dan harga bahan api, dengan penyer­taan penunjuk perasaan daripada gerakan Baju Kuning serta pelajar.

Pihak berkuasa melaporkan kerosakan pada premis perniagaan dan bangunan awam, sekali gus mendorong pelaksa­naan perintah berkurung di beberapa bandar.

Demonstrasi seterusnya di­rancang pada 24 Oktober, manakala kesatuan sekerja menggesa mogok di seluruh negara dan mengadakan demonstrasi pada 5 November.

Dalam perkembangan berkai­tan, Presiden Perancis, Emmanuel Macron memanggil semua perkhidmatan risikan ke Istana Elysee susulan kritikan terhadap agensi berkenaan kerana gagal menjangkakan skala mobilisasi demonstrasi itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini