PARLIMEN: KKM mohon lanjutan kontrak 1,820 petugas kesihatan

PARLIMEN: KKM mohon lanjutan kontrak 1,820 petugas kesihatan

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan bagi mendapatkan syor pelanjutan tempoh kontrak mulai tahun 2026 melibatkan seramai 1,820 petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, permohonan itu merangkumi 600 penolong pegawai perubatan, 437 penolong pegawai kesihatan persekitaran serta 783 petugas daripada skim perkhidmatan lain.

Katanya, status pelanjutan tempoh kontrak berkenaan akan dimaklumkan kepada petugas terlibat menerusi Ketua Jabatan masing-masing sebaik pihaknya menerima kelulusan daripada agensi pusat.

“Pelantikan tetap petugas lantikan kontrak KKM adalah tertakluk kepada kekosongan jawatan tetap, pematuhan syarat lantikan yang ditetapkan pihak berkuasa melantik serta kelulusan agensi pusat.

“Selain meneliti kesinambungan perkhidmatan petugas kontrak sedia ada, KKM juga tertakluk kepada obligasi untuk melantik petugas paramedik dalam kalangan graduan keluaran Institut Latihan KKM (ILKKM) yang terikat untuk berkhidmat dengan kerajaan seperti dimeterai dalam perjanjian latihan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) mengenai perancangan terhadap status lantikan tetap Penolong Pegawai Perubatan dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran kontrak termasuk 705 dan 500 pegawai yang tamat kontrak pada 2026.

Dzulkefly berkata, sehingga 30 September 2025, KKM sedang melatih seramai 2,222 pelatih Diploma Sains Kesihatan dan Perubatan bagi pengisian jawatan penolong pegawai perubatan serta 754 pelatih Diploma Kesihatan Persekitaran bagi pengisian jawatan penolong pegawai kesihatan persekitaran di fasiliti kesihatan KKM.

“Bagi petugas kesihatan paramedik yang dilantik secara kontrak semasa pandemik Covid-19, KKM dari semasa ke semasa meneliti keperluan sumber manusia dan mekanisme terbaik bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan petugas kontrak berkenaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN