NEW YORK: Persaingan merebut jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyaksikan kemungkinan sejarah baharu tercipta apabila diplomat Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Lana Nusseibeh muncul antara calon yang menjadi perhatian, ketika beberapa negara masih belum mencapai persetujuan mengenai pengganti Antonio Guterres.
Jika dipilih, Nusseibeh, 48, akan menjadi wanita pertama menerajui badan dunia itu dan menjadi Setiausaha Agung PBB kedua dari negara Arab. Sebelum ini, diplomat Mesir, Boutros Boutros-Ghali menjadi Setiausaha Agung PBB dari 1992 hingga 1996.
United Kingdom (UK) dilaporkan cenderung menyokong pencalonan Nusseibeh, menurut beberapa sumber yang rapat dengan kerajaan Britain kepada Middle East Eye, meskipun keputusan muktamad masih belum dibuat.
Bagaimanapun, pencalonan diplomat UAE itu mencetuskan kontroversi berikutan dakwaan negara berkenaan menyokong kumpulan separa tentera, Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dalam perang saudara di Sudan. Namun, UAE menafikan dakwaan itu.
Pencalonan Nusseibeh turut menerima kritikan susulan hubungan rapat UAE dengan Israel, selain dilihat berpotensi mempengaruhi hubungan diplomatik Britain dengan Abu Dhabi ketika kedua-dua pihak berdepan dengan ketegangan.
Penyertaannya dalam persaingan itu minggu lalu menyusuli enam undian tidak rasmi yang menyaksikan tiada seorang pun calon memperoleh sokongan kelima-lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai kuasa veto, iaitu Britain, Amerika Syarikat (AS), Russia, China dan Perancis.
Tiada seorang pun daripada tujuh calon pada untuk menggantikannya minggu lalu termasuk Rebecca Greenspan dari Costa Rica, Carolyn Rodriguez Birkett (Guyana) dan Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi dari Argentina, setakat ini mendapat sokongan diperlukan daripada kelima-lima anggota tetap itu.
Nusseibeh berketurunan Palestin dan keluarganya berasal dari Baitulmaqdis.
Datuknya, Anwar Nusseibeh, ialah ahli politik Palestin terkemuka yang pernah memegang jawatan menteri dalam kerajaan Jordan ketika negara itu menguasai Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur, selain pernah berkhidmat sebagai duta Jordan ke Britain
Beliau menjadi wakil tetap wanita pertama UAE ke PBB pada 2013 dan berkhidmat sehingga 2024. Sepanjang tempoh itu, beliau pernah memegang jawatan Naib Presiden Perhimpunan Agung PBB, Presiden Lembaga Eksekutif Wanita PBB dan dua kali menjawat jawatan Presiden Majlis Keselamatan PBB.
Sementara itu, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dilaporkan berusaha mendapatkan sokongan bagi pencalonan bekas Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban, untuk jawatan berkenaan.
Menurut Wall Street Journal (WSJ), wakil pentadbiran Trump sudah menghubungi Orban, yang terbuka terhadap cadangan itu tetapi hanya akan bertanding jika yakin mampu memperoleh jawatan berkenaan.
Washington percaya Russia dan China turut menyokong Orban, sekali gus berpotensi menjadikannya calon bersama ketiga-tiga negara itu, menurut seorang pegawai Jabatan Negara AS.
Orban, yang kalah dalam pilihan raya Mei lalu selepas berkuasa selama 16 tahun pada Mei dikenali sebagai pengkritik lantang dasar Kesatuan Eropah (EU) dan antara pemimpin Eropah yang terus mengekalkan hubungan dengan Moscow selepas konflik Ukraine memuncak pada 2022.
Seorang pegawai Jabatan Negara AS menganggarkan Orban mampu memperoleh sekurang-kurangnya lapan undi dalam Majlis Keselamatan PBB yang mempunyai 15 anggota, dengan dua lagi undi berpotensi diraih.
Guterres akan menamatkan tempoh perkhidmatannya pada 31 Disember ini, dengan Majlis Keselamatan PBB perlu memilih calon pengganti untuk mendapatkan kelulusan Perhimpunan Agung yang dianggotai 193 negara.
Namun, keputusan itu masih belum dapat dipastikan sebelum tempoh perkhidmatan beliau berakhir.
Trump semakin tidak berpuas hati dengan PBB sepanjang penggal keduanya, dengan menyatakan badan dunia itu masih jauh daripada mencapai potensi besarnya.
Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, bulan lalu bahawa Moscow menjangkakan Setiausaha Agung PBB yang baharu akan mewakili kepentingan seluruh umat manusia, bukannya hanya sekumpulan kecil negara Barat seperti yang berlaku ketika Guterres memegang jawatan itu.
Lavrov turut berkata beberapa calon memiliki ciri-ciri yang diperlukan untuk melaksanakan tugas itu dengan berkesan.











