PADANG TERAP: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian meragut nyawa anggotanya agar dapat mengenal pasti punca serta kelemahan yang boleh diperbaiki.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, setiap operasi agensi itu tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan pematuhannya sentiasa ditekankan kepada anggota.
Katanya, siasatan dalaman dilaksanakan secepat mungkin, namun mungkin mengambil masa beberapa minggu bagi membolehkan penelitian menyeluruh dilakukan termasuk mengenal pasti keperluan menambah baik SOP, latihan dan kelengkapan operasi.
“Setiap kejadian yang melibatkan kecederaan anggota atau kerosakan aset akan disiasat secara dalaman.
“Kita perlu mengenal pasti perkara yang boleh ditambah baik demi keselamatan warga Maritim Malaysia pada masa akan datang serta mengelak kejadian sama berulang,” katanya selepas istiadat pengebumian di Kuala Nerang, malam tadi.
Allahyarham Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd. Roshaimi Mohd. Ridzuan, 41, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Tengku Sarafudin Badlishah, sekitar pukul 9.45 malam.
Sementara itu, ujar Mohd. Zawawi, pihaknya turut menyokong arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kejadian berkenaan.
Beliau berkata, insiden itu tidak akan mematahkan semangat anggota Maritim Malaysia, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus melaksanakan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan perairan negara.
Menurutnya, sokongan serta kata-kata semangat daripada kepimpinan agensi akan terus diberikan kepada anggota, terutama mereka yang bertugas di lapangan dan di kawasan sempadan perairan.
Dalam perkembangan berkaitan, Maritim Malaysia memberi jaminan akan mengutamakan kebajikan keluarga mangsa termasuk membantu keperluan pendidikan dua anak arwah yang masih bersekolah.
“Apa-apa keperluan berkaitan dengan dokumentasi atau keperluan oleh keluarga arwah akan diutamakan. Kita akan mengikuti prosedur-prosedur yang sedia ada untuk memastikan kebajikan keluarganya sentiasa terjaga,” katanya. – UTUSAN











