Perlis lubuk belacan berkualiti tinggi

Perlis lubuk belacan berkualiti tinggi

PENGUSAHA belacan, Norathirah Marzuki, 30, menunjukkan belacan keluaran perusahaannya yang diwarisi sejak lebih dua dekad lalu di Sungai Berembang, Kuala Perlis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Ramai yang mungkin tidak mengetahui selain terke­nal dengan ikan bakar, Kuala Perlis turut popular dengan penghasilan belacan berkuali­ti tinggi yang mendapat permintaan tinggi.

Jika Kelantan dikenali de­ngan penghasilan budu dan Melaka pula terkenal dengan keunikan cencaluk, Kuala Perlis tidak kurang hebatnya menerusi penghasilan belacan untuk pasaran dalam negara ini.

Di sekitar Kuala Perlis sahaja, dianggarkan terdapat lebih 15 pengusaha belacan yang bertapak di sini sejak puluhan tahun, namun kebanyakan mereka hanya menjual belacan tersebut di rumah-rumah tanpa ada pusat sehenti atau hab yang fokus mengumpulkan produk belacan berkenaan.

Kewujudan hab itu cukup pen­ting bagi mengumpul dan mengkomersialkan produk-pro­duk tempatan khususnya seperti belacan sekali gus bakal menjadi satu lagi tarikan baharu pelancongan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, antara kawasan berpotensi tinggi bagi pembangunan pusat sehenti itu adalah seperti Kurung Tengar atau Pulau Ketam yang menjadi antara lokasi tarikan pelancong.

Katanya, pada masa ini, produk tempatan seperti belacan kebanyakan hanya diusahakan secara persendirian walaupun industri pembuatannya telah bertapak di sekitar Kuala Perlis sejak puluhan tahun lalu.

“Sudah tiba masanya produk seperti belacan ini dapat dikumpulkan untuk dikomersial kepada pelancong luar secara serius.

“Apabila kita ada satu hab, kerajaan negeri juga dapat membantu dengan mengumpulkan semua produk belacan untuk dipasarkan di bawah satu label jenama sahaja contohnya seperti belacan Kuala Perlis,” katanya.

Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis, berkata kerajaan negeri juga perlu membantu membangunkan pusat pengumpulan bahan mentah bagi penghasilan belacan dalam memastikan pengusaha tidak berdepan dengan situasi kekurangan bekalan.

Beliau berkata, bahan mentah seperti udang perlu sentiasa mencukupi bagi membolehkan pengusaha menyediakan bekalan mengikut permintaan daripada pelanggan.

“Situasi yang sering berlaku sekarang adalah pengusaha ini mendapat permintaan tinggi, namun mereka berdepan situasi kekurangan bahan mentah se­perti udang geragau untuk menghasilkan belacan tersebut.

“Pusat pengumpulan bahan mentah bagi penghasilan belacan ini, amat diperlukan di mana bekalan seperti udang boleh diambil dari Kedah, Pulau Pinang atau negeri berhampiran dan kemudian dikumpulkan di sana,” katanya.

Abu Bakar berkata, belacan dihasilkan sekitar Kuala Perlis dianggap istimewa berikutan penghasilannya yang hanya menggunakan udang dan tiada tambahan lain seperti ikan atau ketam.

“Industri belacan telah lama bertapak di negeri ini dan sewajarnya kerajaan negeri mengambil langkah serius dalam mengkomersialkan produk tersebut.

“Usaha bagi komersialkan pro­duk belacan di negeri ini juga dapat menjadi nilai tambah selaras dengan penganjuran Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025.

“Malah lepas ini jika orang sebut nama Kuala Perlis, kita mahukan pengunjung turut men­getahui bahawa kawasan ini juga terkenal dengan pembuatan belacan,” katanya.

‘Enam hingga 15 tan belacan dipasarkan setiap bulan’

Belacan dihasilkan pengusaha di Kuala Perlis di sini sentiasa mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung luar berikutan kualitinya berbeza daripada tempat-tempat lain.

Pengusaha belacan di Sungai Berembang, Norathirah Marzuki, 30, berkata, selain kualiti dan sedap, belacan Perlis juga tahan lebih lama.

Katanya, dalam tempoh sebulan sahaja, dia mampu memasarkan antara lima ke enam tan metrik belacan ke seluruh negara berikutan permintaan yang menggalakkan.

Malah jumlah tersebut boleh mencecah sehingga 15 tan metrik pada musim perayaan atau cuti persekolahan.

“Belacan Kuala Perlis terke­nal sebab enak dan berkualiti serta tahan lama malah keba­nyakan pengusahanya juga terdiri daripada bumiputera.

“Disebabkan itu, ramai pengunjung luar akan singgah dan tertumpu di sini untuk membeli belacan dalam kuantiti yang besar,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Tambah pemilik perusahaan AA Bayu itu, harga belacan dipasarkan di sekitar Kuala Perlis juga berbeza bergantung kepada pengusaha yang mengeluarkan produk itu.

Ujarnya, dia mengambil pendekatan memasarkan belacan dengan harga berpatutan bermula dari serendah RM1 sehingga RM5 mengikut saiz dan berat.

Pembuat belacan, Saidin Ayub, 65, yang menghasilkan belacan sejak lebih 10 tahun lalu berkata, belacan dihasilkan itu hanya menggunakan udang dan garam tanpa pewarna tambahan.

Ujarnya, untuk proses permulaan, udang geragau yang telah dihancurkan perlu dijemur terlebih dahulu selepas dicampur garam dan diperam semalaman.

Selepas diperam, udang yang dihancurkan itu kemudian dijemur di bawah sinaran matahari dalam tempoh dua ke tiga jam lalu dimasukkan ke dalam me­sin sebelum dibentuk.

Proses penghasilan belacan biasanya mengambil masa selama dua hari bergantung kepada keadaan cuaca.

Katanya, kebanyakan belacan dihasilkan di sekitar Kuala Perlis sememangnya menjadi tumpuan pengunjung luar berikutan keunikan dimiliki.

“Seingat saya, sejak lebih 50 tahun lalu belacan telah diusahakan di Kuala Perlis dan sehingga kini, ia semakin menjadi tumpu­an khususnya pengunjung luar.

“Jadi, saya melihat kewajaran kawasan Kuala Perlis untuk di jadikan hab atau pusat sehenti bagi penghasilan belacan susulan potensi pasarannya yang semakin meluas.

“Selain itu, ia boleh berfungsi dalam membantu golongan pengusaha belacan di Kuala Perlis mengembangkan lagi perusahaan mereka.

“Jika pengusaha dapat bersatu, saya yakin harga belacan dapat diseragamkan bagi memudahkan pelanggan luar membeli,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN