Khidmat feri Kuala Perlis-Satun kembali

Khidmat feri Kuala Perlis-Satun kembali

PEKAN Kuala Perlis lebih rancak dengan kehadiran pelancong selepas pengoperasian semula perkhidmatan feri Kuala Perlis-Satun. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pengoperasian semula perkhidmatan feri penumpang dan Roll-on Roll-off (Roro) dari Kuala Perlis ke Satun, Thailand dijangka bermula awal tahun depan, sekali gus menjadi pemangkin baharu kepada sektor pelancongan di negeri ini menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Perkhidmatan yang pernah menjadi antara laluan laut paling sibuk di utara tanah air itu dihentikan sementara sejak penularan wabak Covid-19 dan masih belum beroperasi walaupun mendapat permintaan tinggi daripada pelancong kedua-dua negara.

ABU BAKAR HAMZAH

Pengerusi Jawatankuasa Pe­lancongan negeri, Abu Bakar Hamzah berkata, pelaksanaan semula laluan laut sejauh 30 minit itu dijangka memberi impak besar terhadap ekonomi setempat, khususnya di Kuala Perlis yang menjadi pintu masuk utama ke negeri ini.

“Perkhidmatan ini memang dinanti-nantikan. Penduduk tem­­­patan dan pengunjung dari Thailand kerap bertanya bila ia akan kembali beroperasi. Dianggarkan lebih 200 penumpang akan keluar masuk setiap hari apabila feri kembali berlayar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

PERKHIDMATAN BEROPERASI DI KONKOS

Abu Bakar berkata, pada peringkat awal, operasi feri itu akan dijalankan di lokasi asal sekitar bangunan Konkos, Kuala Perlis yang bakal dibaik pulih bagi memastikan keselesaan pengguna.

Menurut beliau, penyusunan semula kawasan pelabuhan juga akan dilakukan dengan menambah baik kemudahan kaunter tiket, ruang menunggu dan laluan keluar masuk penumpang.

“Harga tiket akan diselaraskan oleh syarikat pengendali dan kerajaan negeri bercadang mengenakan cukai kemasukan kepada pengunjung ke Thailand. Kutipan ini akan digunakan semula untuk menambah baik kemudahan pelancongan di Perlis,” katanya.

TIADA HALANGAN DARIPADA JABATAN LAUT

Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis berkata, Jabatan Laut Malaysia tidak mempunyai halangan terhadap cadangan pengoperasian semula itu.

Katanya, kerajaan negeri akan membawa satu kertas kerja ke Mesyuarat Exco untuk kelulusan sebelum surat pemakluman dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar Negeri.

LEBIH 1.3 juta rakyat Thailand memasuki Malaysia tahun lalu, dan jumlah itu dijangka meningkat sehingga 25 peratus tahun ini susulan pembukaan semula laluan strategik Kuala Perlis–Satun.

“Ramai tidak tahu operasi ini sebenarnya tidak pernah ditutup, cuma digantung sementara akibat Covid-19. Selepas kelulusan diperoleh, proses pemakluman kepada kementerian akan dilakukan segera,” katanya.

MANFAAT DUA NEGARA

Sementara itu, Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata, usaha berkenaan amat dialu-alukan oleh pelancong Thailand yang sudah lama menantikan pembukaan semula laluan laut itu.

Menurutnya, selain memudahkan penduduk di Satun yang mempunyai pertalian keluarga dengan penduduk Kuala Perlis, kemudahan itu juga akan memanfaatkan masyarakat di wilayah Trang, Krabi, Phang Nga dan Phuket.

“Laluan ini bukan sahaja mempercepat perjalanan tetapi turut membuka peluang ekonomi baharu di sempadan kedua-dua negara. Ia mampu menye­marakkan Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2026 serta Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Lebih 1.3 juta rakyat Thailand memasuki Malaysia tahun lalu dan jumlah itu dijangka mening­kat antara 20 hingga 25 peratus tahun ini, selaras dengan pembukaan semula laluan strategik berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN