KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) berhasrat untuk menghidupkan kembali seluas 2,000 hektar tanah sawah terbiar dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran padi tahunan Kelantan kepada 10 tan metrik sehektar.
Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, sehingga kini, pengeluaran hasil padi negeri masih berada pada tahap 4.3 tan metrik sehektar dan cuba ditingkatkan kepada 6 tan metrik sehektar.
Menurutnya, hasrat berkenaan dilihat selari dengan semangat pesawah yang sanggup menyewa tanah bagi meningkatkan jumlah keluasan bendang KADA untuk meningkatkan pengeluaran hasil.
“Sebab itu kita mahu menghidupkan kembali tanah-tanah sawah terbiar, supaya pesawah-pesawah KADA dapat menjalankan kerja-kerja penanaman padi dengan jayanya.
“Ramai (pesawah) sanggup sewa tanah ketika ini. Sampai keluar cabaran ‘siapa yang kata tanam sawah ni tak menguntungkan, sila bagi kami sewa tanah-tanah kamu’ dan sebagainya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jengkaut Hidraulik KADA Di Bawah Peruntukan RMK13 di Tendong, di sini hari ini.
Beliau memaklumkan, KADA juga akan turut mencari kawasan-kawasan baharu yang boleh dibangunkan sebagai tanah pertanian, khususnya untuk sawah bendang.
Katanya, KADA turut merekodkan banyak kehilangan daripada keseluruhan kawasan tanah sawah terbiar kerana terdapat kawasan yang terlibat dengan pembangunan rumah.
“Jadi kita cuba untuk menambahkan kembali keluasan tanah itu, supaya hasil keluaran padi negeri boleh mencukupi matlamat dan sasaran kerajaan.
“Keutamaan kita kini adalah meningkatkan hasil padi. Bila dapat ditambah, golongan pesawah dapat merasai pulangan lebih tinggi dan mungkin ketika itu kesungguhan mencapai penanaman lima musim dalam dua tahun akan lebih menarik.
“Kita akan cuba. Namun usaha ini banyak bergantung kepada golongan pesawah sendiri. Kita ada 7,450 pesawah di bawah KADA yang betul-betul buat padi,” katanya.
Tambahnya, sehingga kini KADA mengeluarkan purata hasil padi sebanyak 153,000 tan metrik setahun dan semakin menghampiri sasaran pengeluaran 250,000 tan metrik setahun bagi memenuhi purata keperluan 80 kilogram beras seorang rakyat Kelantan. – UTUSAN











