KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia dijangka berkembang melebihi lima peratus pada 2026 susulan prestasi tiga suku tahunan yang kukuh, disokong prestasi eksport yang mantap serta permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.6 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Katanya, perkembangan itu mencerminkan daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan ketidaktentuan persekitaran ekonomi global.
“Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang kukuh sebanyak 5.6 peratus pada sembilan bulan pertama tahun 2026 berikutan prestasi eksport yang mantap dan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan.
“Oleh itu, ekonomi Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan melebihi lima peratus pada tahun 2026,” katanya ketika sidang media prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Suku Ketiga 2026 di sini semalam.
Menurut beliau, ekonomi negara berada pada kedudukan kukuh untuk memulakan 2027, disokong asas yang teguh serta prospek pertumbuhan positif.
Beliau berkata, dari segi perdagangan, pertumbuhan eksport dijangka terus disokong permintaan global terhadap produk berkaitan teknologi dan komoditi utama, selain sumbangan sektor perkhidmatan pelancongan serta teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Malah, katanya, BNM juga akan terus memantau perkembangan risiko terhadap prospek eksport Malaysia susulan perkembangan politik dan dasar perdagangan di Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.5 peratus pada suku ketiga 2026, mengatasi anggaran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 5.3 peratus, manakala pertumbuhan bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini mencapai 5.6 peratus.
Sehubungan itu, pertumbuhan ekonomi keseluruhan 2026 berkemungkinan melebihi lima peratus, disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta prestasi eksport yang kukuh.
Menurutnya, eksport E&E dijangka terus menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, didorong permintaan global yang mantap susulan kitaran peningkatan teknologi.
Dalam pada itu, perbelanjaan isi rumah dijangka kekal disokong keadaan pasaran pekerjaan yang menggalakkan, pertumbuhan pendapatan stabil serta langkah sokongan menerusi Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, beliau berkata, prospek pertumbuhan ekonomi masih terdedah kepada risiko luaran termasuk kemungkinan konflik di Asia Barat kembali memuncak serta pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Selain itu, jangkaan pulangan pelaburan AI yang tidak memenuhi sasaran boleh mencetuskan pelarasan pelaburan dan nilai aset, sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan serta perbelanjaan.
“Sebaliknya, penggunaan AI yang lebih pantas berpotensi meningkatkan eksport menerusi permintaan teknologi yang lebih kukuh, manakala peningkatan ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2027 turut boleh memberikan rangsangan tambahan kepada ekonomi. – UTUSAN











