KUALA LUMPUR: Pelakon muda, Jazmy Juma, bakal menggalas watak utama menerusi drama bersiri romantik kekeluargaan, Wali Dalam Tangisan, sekali gus membuat penampilan sulung dalam Viu Original bersama Ezzanie Jasny.
Drama terbitan Viu itu mula ditayangkan pada 19 November ini dengan menampilkan kisah cinta terlarang, konflik kekeluargaan dan pengorbanan yang menguji hubungan dua insan.
Jazmy membawa watak Alif, manakala Ezzanie pula sebagai Suraiya. Menariknya, kedua-dua watak itu mempunyai hubungan sebagai bapa saudara dan anak saudara meskipun hanya berbeza usia empat tahun.
Hubungan rapat mereka mula berubah apabila Alif memperkenalkan teman wanitanya, Marsya lakonan Syad Mutalib kepada keluarga.
Suraiya yang selama ini menyimpan perasaan terhadap Alif mula dibelenggu cemburu, apatah lagi menyedari perasaan itu tidak sepatutnya wujud disebabkan hubungan kekeluargaan mereka.
Tanpa pengetahuan Suraiya, Alif sebenarnya turut menyimpan perasaan serupa, namun memilih untuk memendamkannya demi menjaga hubungan keluarga.

Bagaimanapun, kematian mengejut ibu saudara Suraiya yang juga kakak kepada Alif mengubah keadaan apabila kedua-duanya terpaksa berdepan dengan perasaan dan konflik yang semakin rumit.
Dalam keadaan dihimpit kesedihan, cemburu serta tekanan keluarga, Alif dan Suraiya perlu membuat pilihan sama ada mengikut kata hati atau mengorbankan perasaan demi mempertahankan keutuhan keluarga.
Drama sebanyak 12 episod itu diarahkan bersama Riza Baharudin yang pernah mengarahkan Saat Aku Tahu, Sesaat Lebih dan Aku Pilih Pelangi serta Jamal Khan (Bidadari Tanpa Syurga).
Skrip pula ditulis Liza Nur yang sebelum ini menghasilkan naskhah Seadanya Kita, Cela dan Bidadari Tanpa Syurga.

Selain Jazmy dan Ezzanie, drama berkenaan turut menampilkan Haidar Hasanudin yang pernah membintangi Cinta Dalam Sekam serta Syad Mutalib menerusi Bidadari Tanpa Syurga.
Menambah kekuatan emosi penceritaan, drama itu turut mempertaruhkan lagu tema berjudul Cinta Terlarang, nyanyian Khai Bahar.
Penyanyi yang telah meraih lebih 50 anugerah sepanjang kerjaya seninya itu menyampaikan lagu yang mengangkat pergolakan perasaan serta konflik cinta terlarang sebagai nadi utama drama berkenaan.
Sementara itu, penonton juga boleh menikmati lebih banyak kandungan premium Asia menerusi pakej langganan gabungan Viu dan iQIYI International yang baru dilancarkan, dengan harga bermula RM19.90 sebulan.
Wali Dalam Tangisan (Tears Between Us) merupakan penerbitan penutup bagi barisan Viu Original tahun ini.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengikuti Viu menerusi Facebook, Instagram, YouTube, X dan TikTok, selain memuat turun aplikasinya melalui App Store, Google Play, Huawei AppGallery serta televisyen pintar terpilih atau melayari www.viu.com.











