KOTA TINGGI : Kerjasama dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka membabitkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) boleh dijadikan parameter perbincangan dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) nanti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun setiap parti mempunyai pandangan serta kepentingan masing-masing, perkara itu tidak seharusnya menjadi penghalang untuk mencari titik persamaan.
“Pengalaman kerjasama politik di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka menunjukkan terdapat pelbagai bentuk persefahaman yang boleh dijadikan asas kepada perbincangan.
“Di Johor mereka bersetuju untuk bertanding hanya beberapa kerusi, di Negeri Sembilan persefahaman, manakala di Melaka kerjasama.
“Jadi semua itu kita akan bincang. Saya percaya apa saja isu ataupun cabaran, masalah atau ketidakpersetujuan tentunya akan diambil kira dalam lingkungan matlamat yang lebih besar,” katanya selepas menyempurnakan Hari Apresiasi Tabika Kemas Program Iqra dan Fardu Ain Tabika Kemas Peringkat Parlimen Kota Tinggi di Lotus Desaru, di sini hari ini.
Kelmarin, Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan sebarang rundingan kerjasama politik dengan BN perlu dilaksanakan atas prinsip kesetaraan tanpa mana-mana pihak bertindak sebagai ‘Abang Long’.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, sikap saling menghormati serta mengambil kira kehendak semua pihak menjadi asas utama sekiranya kedua-dua gabungan itu mahu membentuk muafakat politik yang kukuh.
Ditanya mengenai kemungkinan rundingan kerjasama berdepan cabaran khususnya berkaitan pembahagian kerusi, beliau berkata, pihaknya mengambil pendekatan positif untuk memastikan perbincangan dapat mencapai matlamat yang ditetapkan.
Menteri Pertahanan itu berkata, UMNO menyedari keperluan untuk menjalinkan kerjasama kerana sukar mencapai kemenangan jika bergerak secara bersendirian.
“Setiap pilihan raya ada cabaran dan setiap parti mahu menang. Setiap parti terutamanya UMNO tahu bahawa bersendirian tidak mungkin boleh membawa kepada kemenangan.
“Jadi bersandarkan kepada perimeter itu kita akan duduk berbincang. Saya masuk dengan pendekatan positif,” katanya. – UTUSAN











