KUALA LUMPUR: MCA akan terus berpegang pada prinsip kesederhanaan, Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sekiranya rakyat kembali memberikan mandat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, amanah yang dipikul parti bukan sekadar untuk satu pilihan raya, sebaliknya turut merangkumi tanggungjawab terhadap kehidupan yang akan diwarisi generasi akan datang.
Katanya, MCA juga komited menyumbang kepada usaha membina dunia yang lebih aman dan makmur menerusi pendekatan yang berteraskan perpaduan serta keharmonian masyarakat.
“Amanah kita menjangkaui satu pilihan raya. Kita bertanggungjawab terhadap kehidupan yang akan diwarisi oleh generasi akan datang, serta sumbangan Malaysia kepada dunia yang lebih aman dan makmur.
“Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat, inilah asas kekuatan kita.
“ MCA akan terus bergerak sebagai ejen muhibah yang menyatukan masyarakat majmuk dan sentiasa memelihara keharmonian kaum, agar hubungan etnik di Malaysia sentiasa akrab,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar dalam Majlis Perhimpunan Agung ke-4 Perwakilan MCA ke- 30 di Wisma MCA hari ini. – UTUSAN











