KUALA KANGSAR: Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) yang diadakan di Dataran Pavillion di sini hari ini mendapat sambutan hebat apabila berjaya menarik penyertaan lebih 10,000 peserta.
Tambah meriah apabila Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat mencemar duli menyertai acara larian tersebut.
Turut menyertai baginda ialah Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Almarhum Sultan Idris Shah serta dua anakanda baginda iaitu Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzaffar Shah dan Raja Datuk Seri Nazira Safya.
Terdahulu, baginda turut berkenan menyempurnakan upacara pelepasan peserta bagi beberapa kategori.
Larian yang bermula pada pukul 6.45 pagi itu diadakan sempena Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang ke-70, yang disambut pada 7 November lalu.
Pada acara tersebut, Sultan Nazrin turut berkenan meluangkan masa di Laman Budaya bagi menyaksikan demonstrasi dan pameran aset oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, Ipoh serta reruai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Perak.
Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang laluan larian membabitkan kawasan kampung sekitar Mukim Sayong, Kota Lama Kanan dan Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah.
Antaranya, permainan tradisional gasing dan sepak raga, demonstrasi labu sayong, persembahan rebana, gendang Cina dan India serta stesen kuih-muih.
Selepas acara larian selesai, baginda berdua berkenaan menikmati santapan dan persembahan oleh Kumpulan Stomp dan Percussion Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Kumpulan Selendang Perak dan persembahan tarian perang Senoi Praaq dari Batalion 3, PGA Bidor. – UTUSAN











