PN perlu sepakat, elak besarkan perbezaa

PN perlu sepakat, elak besarkan perbezaan

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu memperkukuh kesepakatan antara parti komponen dengan mengutamakan titik persamaan dan tidak membesarkan perbezaan sehingga menjejaskan perpaduan dalam gabungan.

Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setiap parti mempunyai sejarah, latar belakang, pendekatan dan pengalaman politik berbeza yang perlu diurus secara bijaksana demi mencapai matlamat bersama.

Katanya, perbezaan pandangan merupakan lumrah dalam sesebuah gabungan tetapi setiap pemimpin perlu diberikan ruang untuk menyuarakan pandangan masing-masing sebelum sesuatu keputusan dicapai secara bersama.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita ada perbezaan pandangan, kita boleh duduk dan berbincang mengenainya daripada terus membuat kesimpulan sebelum memahami satu sama lain.

“Apabila pandangan berbeza, marilah kita duduk semeja dengan niat untuk mencari penyelesaian. Itulah cara kita menguruskan perbezaan dalam kehidupan sebagai sebuah parti politik,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Perwakilan Nasional Ke-53 Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata, budaya saling mendengar dan menghormati perlu diperkukuh bagi memastikan pandangan setiap pihak dihargai serta diberikan perhatian sewajarnya.

Katanya, setiap keputusan yang dicapai perlu dipikul sebagai tanggungjawab bersama tanpa mengira kedudukan seseorang pemimpin dalam gabungan berkenaan.

Beliau mengingatkan PN supaya menilai semula pencapaian politik dengan mengenal pasti kelemahan yang perlu ditangani bagi memperluas sokongan pengundi.

Katanya, perubahan demografi pengundi dan peningkatan jumlah pengundi muda serta keupayaan jentera parti menggerakkan penyokong keluar mengundi merupakan antara cabaran yang perlu diberikan perhatian.

Mengambil contoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini, beliau menyentuh kelemahan mobilisasi pengundi berikutan kegagalan membawa sebahagian pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing.

“PN perlu memperkukuh sokongan dalam kalangan pengundi muda dan pengundi kali pertama, selain berusaha meningkatkan sokongan masyarakat Cina di kawasan yang mempunyai komposisi pengundi berkenaan.

“Usaha mendapatkan sokongan tambahan perlu dilaksanakan secara strategik memandangkan perubahan kecil dalam peratusan undi mampu memberi kesan besar terhadap peluang kemenangan.

“PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dengan memberi keutamaan kepada matlamat bersama, bukannya terlalu menumpukan perbezaan sejarah dan pendekatan antara parti komponen,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini