KUCHING: Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 disifatkan sebagai langkah positif untuk kestabilan politik di negeri itu.
Ketua Whip Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan sama ada sesebuah parti mahu bertanding atau tidak ialah hak parti tersebut.
“Saya mengucapkan terima kasih kerana sejak dahulu Barisan Nasional (BN) memang tidak bertanding di Sarawak. Kepada parti lain yang mengambil keputusan untuk tidak bertanding, saya juga mengucapkan terima kasih.
“Demokrasi sebenarnya masih hidup di Malaysia, tetapi terpulang kepada mereka sama ada mahu bertanding atau tidak,” kata Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu kepada pemberita selepas menghadiri program “Juh Kita Melabur, Anak Sarawak” anjuran Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) di sini, hari ini.
Selain PBB, GPS turut dianggotai Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini sebagai hari penamaan calon, pengundian awal pada 8 Dis, manakala hari mengundi pada 12 Dis.
Semasa PRN Sarawak ke-12 pada 2021, GPS memenangi 76 daripada 82 kerusi DUN yang dipertandingkan. – BERNAMA











