SPRM nafi siasatan dua darjat, mula siasat projek KKDW - Utusan Malaysia

SPRM nafi siasatan dua darjat, mula siasat projek KKDW

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Dakwaan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengamalkan siasatan secara dua darjat sama sekali tidak berasas.

SPRM memaklumkan, pihaknya telah memulakan siasatan berhubung isu perbelanjaan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) yang melibatkan sebuah kementerian pada 7 Oktober lalu.

Katanya, sehingga kini, seramai 20 orang saksi daripada pelbagai kementerian dan agensi berkaitan telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Siasatan masih diteruskan dan SPRM sedang meneliti segala maklumat serta keterangan yang diperoleh bagi memastikan setiap aspek berkaitan perkara ini disiasat secara menyeluruh

“Dakwaan siasatan secara dua darjat tidak mencerminkan prinsip profesionalisme, integriti serta tatacara kerja yang menjadi pegangan SPRM dalam melaksanakan setiap siasatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan ini adalah sebagai menjawab kenyataan Penasihat DAP, Lim Guan Eng yang mendakwa SPRM mengamalkan penyiasatan terpilih dalam menyiasat kontroversi pelanjutan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) serta isu perbelanjaan berlebihan RM2.1 bilion oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Kata kenyataan itu, SPRM menghormati hak semua pihak untuk menyuarakan pandangan, kritikan dan teguran. 

Namun demikian, katanya, sebarang dakwaan atau kenyataan yang dibuat hendaklah berlandaskan fakta yang sahih dan disampaikan secara bertanggungjawab, bukannya berdasarkan persepsi atau andaian semata-mata.

“SPRM ingin menegaskan bahawa setiap siasatan dilaksanakan berdasarkan fakta, bukti dan peruntukan undang-undang, tanpa mengira kedudukan, pangkat atau latar belakang mana-mana individu.

“Kami kekal komited untuk menjalankan tanggungjawabnya secara profesional, bebas, adil dan telus demi memastikan prinsip kedaulatan undang-undang sentiasa dipelihara,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini