KUALA LUMPUR: Kerjasama antara UMNO dan Pas perlu sebagai alternatif politik kepada pengundi yang tidak tertumpu kepada soal penyatuan Melayu semata-mata.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu perlu difahami dan UMNO sedang bergerak ke arah memenuhi kehendak hasrat tersebut.
“Ini bukan soal selesa dengan Pas atau tidak, tetapi rakyat hendak lihat alternatif. Rakyat hendak lihat supaya orang Melayu ada kerjasama yang lebih besar dan sebagainya. Jadi, kita faham itu dan kita sedang bergerak ke arah itu, bagi UMNO,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, akhbar ini melaporkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan berkata, Pas yakin penyatuan Melayu dengan UMNO akan menjadi gabungan politik yang kuat dalam berdepan Pakatan Harapan (PH) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan hari ini.
Katanya, gabungan ini turut diyakini tidak akan ‘terkubur’ sebagaimana kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) melalui Muafakat Nasional (MN).
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan turut berkata, UMNO-Pas berisiko kehilangan sokongan pengundi Melayu jika gagal menyesuaikan pendekatan politik dengan kehendak rakyat yang mahukan kerjasama lebih besar dalam kalangan parti Melayu.
Katanya, keputusan beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN), termasuk di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka memberikan mesej jelas mengenai kecenderungan pengundi yang perlu diberi perhatian oleh semua parti politik.
“Setiap pilihan raya yang kita lalui itu, mesejnya sangat jelas. Bukannya bercampur-aduk. Memang hendak ke arah itu (kerjasama). Jadi, setiap parti politik perlu menyesuaikan dirilah.
“Kalau kita gagal memahami kehendak rakyat, kita yang menempah kekalahan,” jelasnya.
Katanya lagi, kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini juga melalui beberapa bentuk persefahaman berbeza mengikut keadaan di setiap negeri.
“Kita melalui pelbagai proses. Di Johor, yang kita kerjasama itu dia tak bertanding semua kerusi. Dia ambil hanya sedikit. Tetapi masuk ke Negeri Sembilan, dia buat satu persefahaman. Antara PN dengan BN, persefahaman sahaja. Maknanya kita tidak lawan sesama sendiri. Kita ada persefahaman.
“Tetapi bila masuk ke Melaka, kita ada kerjasama. Kita keluarkan manifesto bersama.
“Jadi kita tengok daripada ketiga-tiga PRN itu, kita akan cuba cari satu kaedah yang dapat memenuhi kehendak terutamanya orang Melayu. Jadi, kenapa pula kita nak dengar cakap orang lain? kita cari jalan bagaimana kita dapat memenuhi kehendak orang Melayu supaya kita dapat memenuhi apa sahaja dalam soal kenegaraan dan kerajaan ini,” katanya. – UTUSAN











