Rampasan seludup hidupan, tumbuhan liar catat nilai RM89.7 juta

Rampasan seludup hidupan, tumbuhan liar catat nilai RM89.7 juta

MOHD. SHUHAILY MOHD. ZAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rampasan sebanyak RM89.7 juta direkodkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) membabitkan penyeludupan hidupan dan tumbuhan liar dengan 9,263 kes dicatatkan dari Januari hingga Oktober tahun ini.

Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, jumlah dalam kategori biosekuriti itu adalah nilai tertinggi daripada keseluruhan kejayaan penguatkuasaan agensi berkenaan yang berjumlah RM322.74 juta bagi tempoh sama.

Beliau berkata, kawalan sempadan berwibawa bukan sahaja melindungi keselamatan fizikal dan ekonomi negara malah menjadi benteng utama dalam membendung penyeludupan hidupan liar serta pengelakan cukai.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya menyeru masyarakat agar bersama-sama memupuk kesedaran sivik bagi menyokong pemeliharaan alam, menolak pembelian haiwan atau produk hidupan liar yang diperoleh secara haram, serta menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa, di Zoo Negara, di sini, hari ini. Hadir sama, Naib Presiden Persatuan Zoologi Malaysia, Hafidz  Rahmat.

Sementara itu, Mohd. Shuhaily berkata, menerusi inisiatif itu, AKPS menaja dua ekor helang merah yang berada di bawah jagaan Zoo Negara iaitu Bayu dan Bara bagi menyokong keperluan penjagaan menyeluruh termasuk pemakanan, pengurusan harian serta rawatan veterinar berkala.

Beliau berkata,  Inisiatif Sang Perkasa tercetus susulan lawatan kerja delegasi AKPS ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) di Sungkai, Perak pada 21 Julai lalu.

Katanya, perkara ini membuka ruang kepada agensi itu untuk memperkukuh kerjasama strategik dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Pemilihan helang merah dalam inisiatif itu mempunyai kaitan rapat dengan identiti dan logo baharu AKPS selain mencerminkan nilai ketajaman penglihatan, keberanian, kewaspadaan serta ketegasan yang perlu dimiliki warga agensi itu dalam menjaga keselamatan pintu masuk dan kedaulatan sempadan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini