PASIR GUDANG: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 83,000 kilogram lemak haiwan (Inedible Tallow Oil) bernilai RM310,606.26 yang cuba dibawa masuk secara haram di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini minggu lalu.
Rampasan dagangan komoditi pertanian berasaskan hasilan haiwan itu dilakukan sepasukan Pegawai Penguat Kuasa AKPS kira-kira pukul 10 pagi di Inspection Bay pelabuhan berkenaan.
AKPS Pelabuhan Pasir Gudang dalam kenyataan memaklumkan, hasil pemeriksaan mendapati lemak haiwan yang dimuatkan dalam empat beg flexitank dari Mongolia itu dibekalkan tanpa permit import sah mengikut peraturan undang-undang semasa.
“Susulan itu, kesemua barangan dagangan berkenaan telah ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut.
“AKPS memberi peringatan tegas kepada mana-mana pihak bahawa tindakan tanpa kompromi akan diambil sekiranya wujud ketidakpatuhan atau percubaan mengimport tanpa dokumen sah di pintu masuk negara,” katanya dalam kenyataan.
Perbuatan membawa masuk komoditi tanpa permit merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] dan jika sabit kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara sehingga enam tahun, atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan kedua atau seterusnya, pesalah boleh didenda sehingga RM150,000 atau dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN











