KOTA BHARU: Kedudukan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang memenangi kerusi menggunakan tiket Perikatan Nasional (PN) akan terkesan sekiranya pembatalan pendaftaran gabungan parti itu kekal selepas rayuan dibuat.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata dari sudut undang-undang, wakil rakyat berkenaan tidak lagi boleh menggunakan nama PN sekiranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menolak rayuan yang akan dikemukakan gabungan itu.
“Kalau Menteri KDN (Saifuddin) tolak rayuan, daripada segi undang-undangnya pada pandangan saya, kita bukan lagi atas nama PN. Sama ada Ahli Parlimen ataupun ADUN yang bertanding menggunakan logo PN.
“Keadaan ini berbeza di Kelantan dan Terengganu kerana calon PN bertanding menggunakan atas tiket PAS,” katanya selepas Ceramah Jelajah Himpunan & Munajat Panyatuan Ummah Parlimen Kubang Kerian, di sini, malam tadi.
Takiyuddin berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dalam masa terdekat bagi mencabar pembatalan pendaftaran gabungan itu oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Beliau juga diminta oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan kedudukan terkini berhubung pembatalan pendaftaran PN.
“Jadi kita akan beritahu kepada Speaker, kita akan merayu kepada Menteri Dalam Negeri,” katanya.
Sekiranya rayuan diterima dan keputusan pembatalan itu ditarik balik, PN boleh meneruskan penggunaan nama gabungan berkenaan.
“Kalau Menteri bersetuju membatalkan keputusan RoS ini, kita kekallah sebagai PN,” katanya.
Sementara itu, Takiyuddin turut menyifatkan tindakan RoS membatalkan pendaftaran PN ketika permohonan semakan kehakiman masih berjalan menimbulkan persoalan kerana kes itu sepatutnya didengar di mahkamah.
“Peguam kami akan hujah di mahkamah berhubung tindakan yang dibuat, pembatalan ini adalah tidak mengikut undang-undang. Itu kita akan hujah di mahkamah.
“Rayuan kepada Menteri Dalam Negeri dan prosiding mahkamah adalah dua proses berbeza yang akan diteruskan pihaknya,” katanya.











