IOI Properties raih hasil RM1.13 bilion, naik 16 peratus

IOI Properties raih hasil RM1.13 bilion, naik 16 peratus

LEE YEOW SENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 16 peratus kepada RM1.13 bilion bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027  berbanding RM968.7 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

Pertumbuhan itu didorong prestasi lebih kukuh segmen pelaburan hartanah serta hospitaliti dan riadah yang masing-masing meningkat 45 peratus dan 37 peratus.

Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai (PBT) kumpulan merosot 58 peratus kepada RM313 juta berbanding RM753.6 juta pada suku sama tahun lalu yang merangkumi keuntungan penilaian semula South Beach sebanyak RM502.8 juta.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tanpa mengambil kira perkara luar biasa, PBT asas kumpulan sebenarnya meningkat 25 peratus, disokong sumbangan suku penuh menara pejabat South Beach dan hotel JW Marriott di Singapura, selain turut dibantu peningkatan sumbangan daripada IOI Central Boulevard Towers susulan kadar penghunian yang lebih baik.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Datuk Lee Yeow Seng berkata, prestasi permulaan tahun kewangan itu mencerminkan keberkesanan strategi kumpulan dalam mempelbagaikan sumber pendapatan serta memperkukuh produktiviti dan kecekapan operasi.

“Prospek operasi kumpulan bagi baki tahun kewangan kekal positif, disokong penawaran produk yang pelbagai, jualan belum dibil yang kukuh serta pertumbuhan portfolio pendapatan berulang.

“Kumpulan akan terus memberi tumpuan kepada strategi jangka panjang untuk mengimbangi kekuatan pembangunan hartanah dengan portfolio hartanah pelaburan premium yang mampu menjana pendapatan berulang secara konsisten,” katanya.

Dari segi sumbangan geografi, Malaysia menyumbang 65 peratus daripada jumlah hasil kumpulan berbanding 75 peratus pada suku sama tahun lalu, manakala sumbangan Singapura meningkat kepada 27 peratus daripada 14 peratus sebelumnya.

Republik Rakyat China (PRC) pula menyumbang baki lapan peratus hasil kumpulan, mencerminkan kepelbagaian geografi pendapatan menerusi pelaburan strategik yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu.

Bagi segmen Pembangunan Hartanah, kumpulan merekodkan jualan sebanyak RM454.2 juta dengan Malaysia kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak RM388.3 juta atau 86 peratus.

Jualan di Malaysia dipacu Lembah Klang sebanyak RM239.5 juta, khususnya menerusi perbandaran Bandar Puteri Puchong dan Bandar Puteri Bangi, manakala Johor menyumbang RM147.8 juta melalui Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.

Projek di PRC menyumbang RM59.9 juta atau 13 peratus daripada jumlah jualan, manakala Singapura merekodkan baki RM6 juta atau satu peratus.

Sementara itu, jualan belum dibil kumpulan kekal hampir pada paras rekod sebanyak RM2.46 bilion, memberikan keterlihatan pendapatan bagi tempoh jangka pendek hingga sederhana.

Kumpulan turut mengurangkan inventori siap sebanyak RM129.8 juta kepada RM1.04 bilion menerusi usaha merasionalisasikan stok hartanah, selain menyasarkan penyelesaian penjualan tanah perindustrian di IOI Industrial Park Banting kepada Bridge Data Centres menjelang suku keempat 2026.

Segmen Pelaburan Hartanah terus mencatatkan pertumbuhan menerusi prestasi pusat beli-belah dan bangunan pejabat kumpulan, termasuk IOI City Mall dan IOI Mall Puchong yang mengekalkan jumlah kunjungan serta permintaan penyewa yang kukuh.

Di Singapura, pengambilalihan Asia Square Tower 2 yang selesai pada 17 September 2026 menambah portfolio ruang pejabat premium kumpulan sebanyak 2.58 juta kaki persegi keluasan boleh disewa bersih di kawasan pusat perniagaan negara itu.

Dalam perkembangan lain, penyenaraian IOIPG REIT pada 25 November lalu menjana hasil kira-kira RM2 bilion sebagai sebahagian daripada strategi kitar semula modal kumpulan bagi memperkukuh kedudukan kunci kira-kira.

Bagi segmen Hospitaliti dan Riadah, prestasi bertambah baik hasil peningkatan kadar penghunian serta purata kadar bilik di kebanyakan hotel kumpulan di Malaysia dan Singapura, dengan W Kuala Lumpur, Le Meridien Putrajaya dan Moxy Putrajaya masing-masing merekodkan kadar penghunian 87 peratus, 87 peratus dan 82 peratus. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini