Johor tubuh Kumpulan Wang Amanah Tabung Pembangunan Sukan Negeri - Utusan Malaysia

Johor tubuh Kumpulan Wang Amanah Tabung Pembangunan Sukan Negeri

MOHD. HAIRI MAD SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kumpulan Wang Amanah Tabung Pembangunan Sukan Negeri Johor ditubuhkan sebagai dana khas bagi memperkasa ekosistem sukan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor Mohd. Hairi Mad Shah berkata, penubuhan itu diluluskan bagi membiayai pembangunan atlet, jurulatih, pegawai sukan serta pasukan yang mengharumkan nama Johor dan Malaysia.

Katanya, Kementerian Kewangan melalui Bahagian Cukai turut mengesahkan setiap sumbangan kepada tabung itu layak dituntut sebagai potongan cukai pendapatan bersamaan 100 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Maknanya mudah, setiap ringgit disumbang boleh ditolak sepenuhnya daripada pendapatan agregat penyumbang. Sumbangan kepada tabung itu dibuka kepada syarikat korporat, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun, pertubuhan serta individu dari dalam dan luar negara.

“Setiap sumbangan akan disertakan resit rasmi Kerajaan Negeri Johor, manakala penyumbang hanya perlu menuntut potongan melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” katanya ketika berucap pada sesi penggulungan sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Hairi, penubuhan kumpulan wang amanah itu selaras Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 itu dan telah memperoleh persetujuan DUN Johor, Khamis lalu.

“Ia akan diaudit sepenuhnya. Wang tabung akan disalurkan untuk latihan, kem latihan, penyelidikan dan pembangunan bakat serta penyertaan pertandingan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

“Dana sama turut digunakan bagi elaun, insentif dan honorarium yang diluluskan, infrastruktur, peralatan serta kemudahan sukan khusus selain penganjuran kejohanan rasmi, promosi dan pemasaran sukan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau turut memberitahu kerajaan negeri akan memperkenalkan program Dewan Muda Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tahun depan sebagai kesinambungan kepada kejayaan pelaksanaan Dewan Muda Johor dalam memperkasa barisan kepimpinan pelapis negeri.

Menurut beliau, pelaksanaannya melibatkan peruntukan berjumlah RM300,000 dan melibatkan kesemua 16 PBT di seluruh Johor merangkumi tiga Majlis Bandaraya, tujuh Majlis Perbandaran serta enam Majlis Daerah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini