Mamat ‘peluru’ Exists untuk projek lain – Musa - Utusan Malaysia

Mamat ‘peluru’ Exists untuk projek lain – Musa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain bass kumpulan Exists, Musa Radhi mengesahkan vokalisnya, Mamat tidak akan mengikuti konsert Slam x Exists: The Greatest Hits yang akan berlangsung pada Mei hadapan.

Menurut Musa, keputusan itu dibuat bagi mengekalkan konsep persembahan terdahulu yang pernah dijayakan kedua-dua kumpulan tersebut di Kuala Lumpur dan Singapura tanpa pembabitan Mamat.

Bagaimanapun, katanya, Mamat disifatkan sebagai ‘kad’ yang sengaja disimpan untuk projek lain bagi memberikan kelainan kepada peminat Exists pada masa hadapan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami pernah menjayakan konsert Slam dan Exists seperti ini sebelum ini di Kuala Lumpur dan Singapura. Ketika itu memang Mamat tidak ada.

“Jadi, kali ini kami teruskan dengan perancangan sama.

“Mamat pula kami anggap sebagai satu ‘peluru’ yang disimpan. Kalau diibaratkan seperti kad, kita tidak buka semua kad,” katanya semasa sidang media konsert itu di A Quite Place, hari ini.

Musa berkata, strategi tersebut bagi memastikan Exists sentiasa tampil dengan pembaharuan dan variasi dalam setiap persembahan yang dijayakan.

Ditanya mengenai penerimaan Mamat terhadap keputusan tersebut, katanya, penyanyi itu memahami perancangan kumpulan berkenaan.

Malah, sejak awal lagi anggota Exists sudah berbincang untuk melibatkan Mamat dalam sebanyak mungkin aktiviti seni kumpulan tersebut.

“Dia faham dengan situasi ini. Daripada peringkat awal lagi kami sudah berbincang untuk cuba melibatkan dia dalam sebanyak mungkin aktiviti.

“Walaupun dia tidak terlibat dalam konsert ini, dalam masa terdekat ada banyak projek seperti majlis makan malam tahunan yang akan kami jayakan bersamanya,” ujarnya.

Konsert gabungan dua band lagenda itu bakal kembali menerusi konsert Slam x Exists: The Greatest Hits di Unifi Arena, Bukit Jalil pada 1 Mei 2027.

Tiket akan mulai dijual pada 1 Disember 2026, Selasa pukul 3 petang di wwww.ticket2u.com.my/slamexists.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini