PETALING JAYA: Tune Protect Group Berhad (Tune Protect) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM5.9 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2026, disokong keputusan perkhidmatan insurans bersih positif berjumlah RM13.9 juta serta nisbah gabungan pada paras 94.4 peratus.
Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, kumpulan terus mengekalkan prestasi pengunderaitan yang menguntungkan apabila merekodkan nisbah gabungan di bawah 100 peratus pada paras 93.9 peratus, seiring peningkatan premium bertulis kasar (GWP) sebanyak 8.5 peratus suku ke suku.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, How Kim Lian berkata, perniagaan insurans teras kumpulan kekal menguntungkan pada suku ketiga, disokong prestasi kukuh segmen bukan perjalanan dan tanda pemulihan berperingkat dalam segmen perjalanan.
“Walaupun ketidaktentuan pelaburan menjejaskan pendapatan, kami kekal memberi tumpuan kepada disiplin pengunderaitan serta membina perniagaan yang lebih pelbagai dan berdaya tahan,” katanya dalam kenyataan.
Hasil insurans kumpulan turut bertambah baik 2.5 peratus suku ke suku kepada RM84.1 juta, didorong pemulihan segmen perjalanan di rantau Eropah, Asia Barat, India dan Afrika (EMEIA) serta pertumbuhan berterusan segmen bukan perjalanan, walaupun menyusut 4.0 peratus tahun ke tahun berbanding RM87.5 juta pada suku ketiga 2026.
Kumpulan merekodkan keputusan perkhidmatan insurans bersih positif sebanyak RM5.2 juta bagi suku dikaji meskipun berdepan tuntutan bersih dan perbelanjaan berkaitan lebih tinggi susulan dua tuntutan kebakaran luar biasa.
“Bagaimanapun, prestasi suku tersebut terjejas oleh kerugian nilai saksama tidak direalisasikan berjumlah RM16 juta ekoran kelemahan pasaran bon global serta unjuran kadar faedah lebih tinggi di Malaysia, sekali gus menyaksikan syarikat mencatatkan kerugian selepas cukai (LAT) RM4.4 juta pada suku ketiga.
“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, hasil insurans kumpulan berjumlah RM247.0 juta, susut 5.9 peratus tahun ke tahun, manakala portfolio pelaburan bernilai RM688.8 juta setakat 30 September lalu kekal dilaburkan terutamanya dalam dana unit amanah pendapatan tetap,” katanya.
Pihak pengurusan merancang mempelbagaikan portfolio pelaburan tersebut secara berperingkat merangkumi pendapatan tetap, dana nilai aset bersih (NAV) stabil dan tunai bagi mengurangkan ketidaktentuan pasaran.
Dari segi segmen perniagaan, GWP bukan perjalanan meningkat 9.5 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga, diterajui segmen motor yang menyaksikan nisbah tuntutan bertambah baik empat mata peratusan, selain peluasan kerjasama pengedaran termasuk pelancaran perlindungan gajet bersama rakan telekomunikasi tempatan dan tawaran perjalanan menerusi platform BJAK.
GWP segmen perjalanan pula menyusut 22.0 peratus tahun ke tahun berikutan pengurangan 25 peratus kapasiti penumpang dalam kalangan rakan syarikat penerbangan utama serta kesan pengukuhan ringgit, namun melonjak 16 peratus suku ke suku disokong pertumbuhan ejen pelancongan dan pengoptimuman hasil.
Kumpulan juga memperkukuh rangkaian pengedaran perjalanan serantau dengan memperluas kerjasama Ticket2U ke Thailand dan AirPaz ke Filipina, selain menambah tujuh rakan niaga baharu serta memperkenalkan automasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi penilaian tuntutan kerosakan bagasi.
Melangkah ke suku keempat 2026, Tune Protect menjangkakan prestasi akan disokong oleh musim puncak perjalanan, momentum berterusan segmen bukan perjalanan termasuk motor, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta pekerja asing, di samping pemulihan pulangan pelaburan. – UTUSAN









