PETALING JAYA: Konglomerat dari Laos, Phongsavanh Group, merekodkan pelaburan dan urus niaga perniagaan bernilai lebih RM100 juta di Malaysia, didorong keyakinan terhadap tenaga kerja mahir serta kepakaran teknologi tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Saham Phongsavanh Group, Somboun Phongsavanh berkata, Malaysia kini memainkan peranan penting sebagai hab kumpulan itu bagi menyelaras tadbir urus korporat dan menyediakan sokongan perniagaan kepada operasi syarikatnya di Laos.
Katanya, jumlah berkenaan merangkumi pelbagai urusan perniagaan yang dilaksanakan setakat ini, termasuk pembelian peralatan komunikasi serta penggunaan teknologi dan kepakaran syarikat Malaysia bagi menyokong operasi kumpulan itu di Laos.
“Kami telah melabur lebih RM100 juta setakat ini. Antaranya termasuk pembelian peralatan komunikasi dari Malaysia untuk dijual di Laos, selain bekerjasama dengan rakan strategik bagi membangunkan sistem perbankan kami di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas perasmian pejabat baharu Phongsavanh Group Malaysia di Bandar Utama pada 24 November lalu, yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Laos, Thongsavanh Phomvihane.
Thongsavanh berada di Malaysia bagi lawatan rasmi selama tiga hari dari 22 hingga 24 November sempena sambutan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik Malaysia-Laos.
Menurut Somboun, pemilihan Malaysia sebagai hab operasi kumpulan itu didorong ketersediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu membantu menyelaraskan amalan tadbir urus korporat dengan piawaian antarabangsa.
Katanya, kepakaran tenaga kerja tempatan turut membuka ruang perkongsian pengetahuan bagi meningkatkan kecekapan operasi perniagaan kumpulan itu di Laos.
“Keutamaan kami ketika ini adalah membangunkan pasukan di Malaysia bagi menyokong syarikat-syarikat kami di Laos sebelum meneroka peluang pelaburan lain di rantau ASEAN dan pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, kumpulan itu masih menilai potensi jumlah pelaburan tambahan yang boleh disalurkan dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Dalam pada itu, Somboun menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia meneroka peluang perniagaan di Laos, khususnya dalam sektor sumber asli, pelancongan, logistik dan rantaian bekalan.
Katanya, kedudukan strategik Laos yang bersempadan dengan lima negara menawarkan potensi untuk negara itu berkembang sebagai hab perdagangan dan perniagaan serantau.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Phongsavanh Group Malaysia, Ho Sai Weng berkata, kumpulan itu berhasrat menjadi penghubung bagi menggalakkan pelaburan Malaysia di Laos, selain membantu perniagaan di negara berkenaan memanfaatkan teknologi dan kepakaran dari Malaysia.
Beliau berkata, perkembangan ekonomi digital Malaysia serta tenaga kerja mahir yang menguasai pelbagai bahasa menyediakan asas kukuh untuk memperluas kerjasama perniagaan antara kedua-dua negara.
“Phongsavanh Group Malaysia bersedia membantu bakal pelabur Malaysia memahami persekitaran pasaran Laos, mengenal pasti peluang pelaburan serta menghubungkan mereka dengan pemain industri dan rakan perniagaan tempatan.
“Kumpulan turut terbuka untuk bekerjasama secara langsung dengan syarikat Malaysia dalam projek berpotensi yang mampu membawa masuk pelaburan jangka panjang ke Laos.
“Kerjasama jangka panjang bukan sahaja berpotensi membawa masuk pelaburan dan kepakaran praktikal ke Laos, malah membantu perniagaan tempatan berkembang serta membuka peluang perniagaan baharu kepada syarikat di kedua-dua negara,” katanya. – UTUSAN











