PETALING JAYA: Anggota kereta peronda polis (MPV) perlu memiliki keupayaan menilai ancaman, mengurus krisis dan mengawal emosi selain bertindak pantas ketika berhadapan situasi kritikal serta sukar dijangka.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Seri Noor Hisam Nordin berkata, keupayaan itu penting bagi memastikan setiap tindakan yang diambil bukan sahaja pantas, malah tepat, teratur dan mengambil kira aspek keselamatan semua pihak.
“Dalam konteks pengurusan krisis, kepantasan memberikan respons semata-mata tidak mencukupi tanpa disokong tahap kesiapsiagaan tinggi, kecekapan taktikal serta komunikasi berkesan.
“Sebaliknya, setiap tindakan anggota perlu berpandukan prosedur operasi standard (SOP) dan mematuhi peruntukan undang-undang bagi memastikan pengendalian sesuatu insiden berjalan dengan berkesan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, insiden dua anggota MPV diserang suspek dalam kejadian berasingan di Kepong dan Sabak Bernam baru-baru ini memperlihatkan cabaran dan risiko sebagai petugas barisan hadapan bagi menjaga keselamatan masyarakat.
Katanya, insiden seumpama itu juga perlu dijadikan landasan untuk memperkukuh latihan serta menilai keberkesanan prosedur operasi sedia ada.
“Selain itu, aspek perlindungan anggota dan mekanisme bantuan sokongan ketika berhadapan situasi berisiko tinggi perlu terus dipertingkatkan bagi memastikan kebajikan serta keselamatan petugas barisan hadapan sentiasa diberi perhatian,” jelasnya.
Noor Hisam berkata, anggota barisan hadapan ini sentiasa mempertaruhkan keselamatan diri demi memastikan keselamatan orang lain terpelihara.
“Apa yang penting adalah keseimbangan antara keberkesanan tindakan, profesionalisme, keselamatan anggota dan masyarakat,”katanya.
Pada 11 November lalu, Lans Koperal Thierry Rodger Fendy putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak seorang lelaki warga asing di Desa Amanpuri, Kepong.
Terbaharu, seorang anggota polis cedera di kiri kepala dalam satu kejadian melibatkan seorang lelaki yang dipercayai mengamuk di sebuah rumah di Sungai Panjang, Sabak Bernam pada Isnin lalu. – UTUSAN











