PETALING JAYA: Petronas menghantar kargo pertama gas asli cecair berasaskan bio (Bio-LNG) dari Malaysia ke Jepun menerusi kerjasama dengan syarikat tenaga negara itu, Tokyo Gas Co. Ltd. (Tokyo Gas).
Penghantaran sulung yang memperoleh pensijilan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) PLUS itu membuka peluang baharu kepada perdagangan gas boleh baharu antara Malaysia dan Jepun.
Petronas berkata, penghantaran berkenaan dilaksanakan menerusi anak syarikat milik penuhnya, Petronas LNG Ltd. (PLL), susulan Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama Tokyo Gas pada 27 Oktober lalu.
Kerjasama itu bertujuan memperluas hubungan dalam rantaian nilai gas asli cecair (LNG) serta meneroka peluang penyahkarbonan.
Kargo pertama Bio-LNG itu dihasilkan daripada efluen kilang minyak sawit (POME) sebelum dimuatkan bersama LNG konvensional di Terminal Penggasan Semula Pengerang (RGTP), Johor.
Bekalan berkenaan diperoleh PLL menerusi Petronas Energy & Gas Trading Sdn. Bhd. (PEGT), sebelum disalurkan menggunakan infrastruktur LNG sedia ada Petronas yang dikendalikan Petronas Gas Bhd. (PGB).
Menurut Petronas, penghantaran itu turut menyokong sasaran Jepun untuk memperkenalkan satu peratus gas boleh baharu, termasuk e-metana dan biometana, dalam bekalan gas bandar negara itu menjelang 2030.
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Perniagaan Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli, berkata kejayaan itu membuktikan keupayaan bersepadu kumpulan dalam keseluruhan rantaian nilai LNG, daripada mendapatkan sumber biometana sehingga menyalurkan bekalan ke pasaran antarabangsa.
Katanya, gabungan potensi biometana Malaysia dengan keupayaan komersial serta rangkaian LNG Petronas membolehkan gas boleh baharu tempatan menembusi pasaran luar negara tanpa mengabaikan jaminan bekalan tenaga kepada pelanggan.
Beliau berkata, kerjasama dengan Tokyo Gas dalam mengesahkan keperluan rantaian bekalan Bio-LNG turut menjadi faktor penting dalam merealisasikan penghantaran sulung itu.
“Petronas akan terus memperkukuh kerjasama itu bagi membangunkan penyelesaian penyahkarbonan yang praktikal, sejajar dengan perubahan keperluan pelanggan dan peningkatan permintaan terhadap tenaga rendah karbon di rantau ini,” katanya.
Penghantaran berkenaan turut mencerminkan komitmen Petronas melaksanakan Strategi Peralihan Tenaganya serta mencapai sasaran Pelepasan Karbon Sifar Bersih menjelang 2050.
Petronas berkata, perkembangan itu dijangka membuka peluang pertumbuhan baharu dalam sektor tenaga bersih dan rendah karbon, selain memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan tenaga boleh baharu serantau. – UTUSAN











