KUALA LUMPUR: Polis berjaya membongkar kegiatan sindiket penipuan dalam talian antarabangsa yang menyamar sebagai pegawai polis New York dengan berselindung di sebalik unit kondominium di Bukit Ceylon di sini pada Selasa lalu.
Operasi bermula pukul 5 petang yang digerakkan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial bersama Cawangan Khas serta Bahagian Integriti dan Pematuhan Standard Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi sebelum menahan 11 suspek warga asing.
Modus operandi digunakan adalah suspek akan membuat panggilan video dengan mengenakan pakaian seragam menyerupai polis New York dan berlatar belakangkan logo penguat kuasa tersebut bagi meyakinkan mangsa.
Difahamkan suspek turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam panggilan video terbabit.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, kesemua suspek berusia antara 22 hingga 51 tahun itu terdiri daripada empat warga Afrika Selatan, tiga Taiwan serta masing-masing seorang warga Mexico, Zimbabwe, Kenya dan India.
Menurutnya, kesemua mereka dipercayai masuk ke Malaysia menggunakan Pas Lawatan Sosial (LPS) sebagai pelancong.
“Pemeriksaan forensik digital dan analisis media sosial terhadap peranti dirampas mendapati sindiket berkenaan menyamar sebagai anggota polis New York dengan menyasarkan mangsa warga Amerika Syarikat.
“Sindiket yang dipercayai sudah beroperasi sejak pertengahan tahun ini memperdaya mangsa dengan mendakwa mereka terbabit dalam kegiatan jenaya serta pengubahan wang haram,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, bagi meyakinkan mangsa, sindiket terbabit turut menggunakan dokumen menyerupai dokumen rasmi polis New York, pakaian seragam polis serta teknologi pertukaran wajah (face swap) bagi mengesahkan identiti palsu mereka.
Tambahnya, siasatan awal sindiket terbabit menyewa kondominium tersebut dengan harga RM15,000 sebulan.
“Suspek dipercayai berperanan sebagai operator dan tidak tolak kemungkinan lebih 100 panggilan dibuat suspek setiap hari,” ujarnya.
Katanya, polis turut merampas pelbagai dipercayai dalam kegiatan tersebut antaranya 31 unit telefon bimbit, tujuh unit komputer riba, tiga pasang pakaian seragam polis New York, papan logo Polis New York dan peta bandar raya New York.
Tegasnya, kesemua suspek direman selama empat hari sehingga 28 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 511 Kanun Keseksaan.
“Polis komited membanteras kegiatan sindiket penipuan dalam talian, khususnya jenayah rentas negara yang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi aktiviti jenayah,” katanya. – UTUSAN











