KUALA LUMPUR: Taktik sindiket pengedaran dadah yang menjadikan paket minuman pelbagai perisa sebagai medium penjualan bahan terlarang di pusat hiburan termasuk kepada warga asing akhirnya terbongkar.
Taktik itu terbongkar hasil risikan dan maklumat yang digerakkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas menahan enam lelaki warga China menerusi tiga serbuan berasingan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata, serbuan pertama dilakukan pada pukul 9.30 pagi di sebuah kondominium di Jalan Galloway, Bukit Bintang sebelum menahan seorang suspek lelaki disyaki ‘runner’.
Menurutnya, serbuan kedua pula dilakukan di unit kondominium yang lain sebelum empat suspek berjaya ditahan.
“Hasil serbuan itu, kita berjaya merampas pelbagai dadah antaranya 87 paket pelbagai warna bernilai RM79,650,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya, serbuan turut dilakukan pada pukul 4.15 petang sebelum seorang lagi suspek ditahan di sebuah kondominium di Jalan Yap Kwan Seng.
“Di situ, kita telah merampas 36 paket plastik disyaki berisi dadah bernilai RM970,000,” jelasnya.
Beliau berkata, kesemua dadah yang dirampas melibatkan serbuk disyaki MDMA seberat kira-kira tujuh kilogram bernilai RM1.05 juta, serbuk kristal disyaki methamphetamine seberat 230 gram bernilai RM230 serta 13.14 gram serbuk ketamin bernilai RM657.
Katanya, sindiket menggunakan kondominium berkawalan keselamatan ketat sebagai stor dan tempat pembungkusan semula dadah MDMA dalam paket minuman berperisa.
“Setiap paket dipercayai dijual sekitar harga RM300 hingga RM350 di pusat hiburan sekitar ibu negara,” ujarnya.
Katanya lagi, kesemua suspek merupakan sindiket yang sama dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.
Tegasnya, lima suspek direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi direman empat hari mengikut Seksyen 12(2) akta sama.
“Polis akan terus memerangi musuh nombor satu negara dan masyarakat diminta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah di Hotline JSJN 012-2087222,”katanya. – UTUSAN











