KUALA LUMPUR: AJ Productions terus memperkukuh jaringan kerjasama dalam industri muzik tempatan menerusi penglibatannya sebagai pengedar utama single terbaharu Hafiz Suip berjudul Kita, hasil kolaborasi semula penyanyi itu dengan komposer terkenal, Ajai.
Kerjasama berkenaan turut membabitkan Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd. yang sebelum ini pernah berganding bahu dengan AJ Productions dalam beberapa projek muzik.
Pertemuan semula Hafiz dan Ajai menerusi Kita menyambung kesinambungan kerjasama seni mereka yang pernah menghasilkan beberapa lagu popular, termasuk Noktah Cinta dan Ku Akui.
Lagu Noktah Cinta, hasil gabungan Ajai dan Sheikh Qalam, berjaya meletakkan Hafiz di tempat ketiga Anugerah Juara Lagu ke-25 (AJL25) pada 2011, selain meraih anugerah Vokal Terbaik.
Populariti penyanyi kelahiran Sarawak itu terus meningkat menerusi Ku Akui, ciptaan sepenuhnya Ajai yang diterbitkan pada 2012.
Lagu berkenaan sekali lagi menyerlahkan kemampuan Hafiz dalam genre balada dan melayakkannya meraih anugerah Vokal Terbaik serta tempat ketiga pada Anugerah Juara Lagu ke-27 (AJL27).
Selepas menghasilkan beberapa single lain, Hafiz dan Ajai kini kembali bergabung menerusi Kita yang dijangka mengembalikan perhatian peminat kepada keserasian muzik kedua-dua artis berkenaan.
Sentuhan Ajai dalam menghasilkan melodi yang sarat emosi, digabungkan dengan kekuatan vokal serta penghayatan Hafiz, menjadi daya tarikan utama karya terbaharu itu.
Hafiz yang juga juara Akademi Fantasia musim ketujuh pada 2009 turut mencipta nama menerusi lagu popular seperti Awan Nano, Bahagiamu Deritaku dan Ku Akui.
Sepanjang perjalanan seninya, penyanyi berusia 36 tahun itu dilaporkan meraih 23 anugerah dalam industri hiburan tanah air.

Dalam pada itu, penglibatan AJ Productions sebagai pengedar utama Kita menjadi satu lagi langkah syarikat muzik dari Sabah itu dalam memperluas rangkaian pengedarannya ke pasaran nasional.
Pengarah Urusan AJ Productions, Asmi Datuk Andi Yakin dan Jasnie Md Yaakob berkata, pihaknya berbesar hati apabila diberi kepercayaan mengedarkan single terbaharu Hafiz itu.
“Ini pembabitan kedua kami bersama Sheikh Qalam Records Sdn. Bhd. dalam projek membabitkan artis ternama selepas menerbitkan single terbaharu Mawi berjudul Pawana Pawaka awal bulan ini.
“Kolaborasi ini membuka ruang kepada bakat kreatif Sabah untuk menembusi pasaran muzik tanah air, sekali gus menepati aspirasi kami dalam memperluas jaringan industri secara nasional.
“Kerjasama ini juga menjadi pencapaian penting bagi AJ Productions dalam memperkukuh penglibatan di pentas muzik serta membuka peluang kepada pertemuan antara bakat kreatif Sabah dengan nama besar industri hiburan Malaysia,” kata mereka.
Menurut mereka, pengedaran Kita turut menjadi tambahan bermakna kepada portfolio syarikat dalam usaha mengetengahkan karya tempatan dan memperluas peluang kerjasama dengan penggiat industri muzik.
Gabungan bakat Hafiz dari Sarawak, kepakaran Ajai dalam penciptaan lagu serta jaringan pengedaran AJ Productions dari Sabah memperlihatkan potensi kerjasama merentas wilayah dalam memajukan industri muzik Malaysia.
Menerusi Kita, Hafiz dan Ajai meneruskan perjalanan seni bersama, manakala AJ Productions memperkukuh peranannya dalam membawa karya tempatan kepada khalayak lebih luas.
Muzik video rasmi Kita dijadualkan dilancarkan esok, 27 November, jam 2 petang menerusi saluran YouTube AJ Productions Sdn. Bhd.











