KUALA LUMPUR: Dengan hampir seminggu Belanjawan 2027 dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, rata-rata pihak pembangkang masih terkial-kial mencari hujah yang kuat untuk dijadikan isu bagi memberikan ulasan sehingga sekarang.
Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia Universiti Utara Malaysia (UUM MAPAN), Prof. Madya Dr. Mashitah Mohd. Udin berkata, dengan melabelkan ia sebagai belanjawan pilihan raya, pembangkang secara tidak langsung mengiktiraf keupayaan Kerajaan Madani untuk memberi penawar kepada rakyat di negara ini terutama dari segi kos sara hidup dan aspek pendidikan.
Katanya, kenaikan gaji minimum, selain banyak inisiatif diadakan bagi melegakan poket rakyat menerusi pelbagai bantuan dan insentif yang diumumkan kerajaan khususnya kepada golongan yang terkesan dengan peningkatan perbelanjaan harian.
“Inilah yang membuatkan pembangkang tiada isu untuk memberikan ulasan negatif mengenai belanjawan tersebut, selain jumlah belanjawan naik kepada RM510 bilion, berbanding RM470 bilion, tapi defisit fiskal tetap disasarkan pada 3.3%, berbanding 5.5% pada 2022,” katanya hari ini.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pendang dari Pas, Datuk Awang Hashim berkata, pihaknya menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai ‘belanjawan pilihan raya’, dengan mempersoalkan pelaksanaan perancangan kerajaan serta isu keadilan dalam pengagihan peruntukan kepada Ahli Parlimen.
Awang Hashim berkata, beberapa pengumuman dalam belanjawan itu perlu dinilai berdasarkan keupayaan kerajaan melaksanakannya, terutama mengambil kira pencapaian peruntukan dan projek yang diumumkan pada tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, penganalisa berkata, Belanjawan 2027 turut melegakan lebih 103,000 atau 75 peratus kontraktor gred G1 hingga G4 daripada keseluruhan 138,000 kontraktor di seluruh negara yang akan mendapat manfaat daripada pengumuman Belanjawan 2027 apabila nilai perolehan kerajaan ditingkatkan kepada RM7.5 bilion, berbanding RM4 bilion tahun ini.
Katanya, Belanjawan Madani 2027 dilihat bukan sekadar instrumen pengurusan kewangan negara, sebaliknya satu amanah dan janji antara kerajaan dengan rakyat yang akan menjurus kepada pendekatan menyeluruh memastikan ekonomi berkembang tanpa membebankan rakyat. – UTUSAN











