PETALING JAYA: Semua gabungan dan parti politik disaran bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi menilai tahap sokongan serta kekuatan sebenar masing-masing sebelum mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, langkah itu wajar dipertimbangkan memandangkan situasi politik semasa menyaksikan belum ada kata putus berhubung bentuk kerjasama yang bakal dimeterai.
Menurut beliau, pelbagai kekangan untuk bertolak ansur dan membuat keputusan bersama ketika ini menjadikan saingan secara berasingan sebagai pilihan yang lebih baik bagi Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Wawasan Negara (Wawasan) serta Parti Bersama Malaysia (Bersama).
“Nampaknya belum ada kata putus siapa bekerjasama dengan siapa untuk PRN Melaka kerana kali ini banyak kekangan untuk bertolak ansur.
“Justeru, lebih baik semua gabungan atau parti bertanding secara solo. Lihat kekuatan masing-masing apabila bertanding sendiri, baru nampak siapa yang sebenarnya memerlukan siapa,” katanya dalam satu hantaran, hari ini.
Beliau berkata, pertembungan secara berasingan itu juga bakal mendedahkan kedudukan sebenar sesebuah parti sama ada mereka benar-benar mempunyai pengaruh atau sekadar ‘parti nyamuk’.
Ujar beliau, ujian medan pada PRN Melaka kelak penting bagi menyedarkan setiap kepimpinan parti agar lebih bersikap rendah diri dan bersedia menetapkan rakan kongsi politik yang lebih rasional serta realistik untuk PRU16 kelak.
“Siapa kalau tanding sendiri baru tahu parti itu hanyalah parti nyamuk. Maka barulah di PRU16 nanti ada rasa rendah diri, sedia mendongak langit dalam menentukan rakan kongsi yang lebih realistik,” katanya. –UTUSAN











