BATU PAHAT: Seorang guru sekolah menengah di sini kerugian RM748,326.50 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai kakitangan sebuah hospital swasta dan pegawai polis dari Bukit Aman.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, mangsa yang merupakan wanita berusia 54 tahun itu tampil membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.
Menurutnya, kejadian bermula pada akhir Ogos lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada seorang individu tidak dikenali yang mendakwa bertugas di sebuah hospital swasta di Rawang, Selangor.
“Suspek mendakwa kononnya terdapat pihak lain yang menyalahgunakan nama mangsa untuk membuat tuntutan insurans sebelum talian tersebut disambungkan kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman.
“Pegawai polis berkenaan kemudiannya menawarkan bantuan untuk membuat laporan polis secara dalam talian, namun mengarahkan mangsa menyerahkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) miliknya kononnya bagi tujuan siasatan pihak Bank Negara Malaysia (BNM),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Jelas Shahrulanuar, akibat panik dan ketakutan, mangsa menuruti arahan suspek dengan meninggalkan kad ATM miliknya di sebuah gerai nasi lemak berhampiran kediamannya pada 3 September lalu.
Katanya, mangsa hanya menyedari wang dalam akaun banknya lesap berjumlah RM673,326.50 menerusi beberapa transaksi pindahan kepada individu tidak dikenali selepas membuat semakan penyata akaun pada minggu lalu.
“Selain itu, pada 4 November lalu, mangsa turut memasukkan wang tunai berjumlah RM75,000 secara berperingkat ke dalam tiga akaun bank berbeza melalui mesin ATM dan mesin deposit tunai (CDM).
“Mangsa akhirnya menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas menceritakan kejadian tersebut kepada kakaknya di rumah pada 15 November lalu dengan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM748,326.50,” katanya.
Tambah beliau, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN











