Anak Ismail Lasim persoal BN, dakwa bapa jadi 'kambing hitam' - Utusan Malaysia

Anak Ismail Lasim persoal BN, dakwa bapa jadi ‘kambing hitam’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Anak Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mempersoalkan tindakan Barisan Nasional (BN) mengeluarkan kenyataan mengenai peletakan jawatan bapanya.

Bertanya sama ada keputusan itu dibuat sendiri bapanya, anak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu menerusi akaun Instagram, turut mempersoalkan asas parti membuat pengumuman itu.

“Siapa yang keluarkan kenyataan mahu meletakkan jawatan? Adakah tuan sendiri yang membuat kenyataan tersebut? Kalau bukan, atas dasar apa parti tampil mengeluarkan kenyataan media?” soalnya

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut meluahkan kekesalan kerana bapanya didakwa sudah mematuhi setiap arahan parti, namun akhirnya seolah-olah dijadikan kambing hitam dalam kemelut yang melanda Negeri Sembilan.

“Dari awal segala arahan parti dipatuhi. Apa sahaja keputusan parti semuanya ikut. Tetapi akhirnya macam ni jadi.

“Belum apa-apa selesai, dah ada usaha untuk menjatuhkan orang sendiri. Jangan kerana kepentingan pihak tertentu orang lain dijadikan kambing hitam.

“Kalau betul nak menjaga parti, jangan sampai orang sendiri diperlakukan macam ni. Semua orang tahu apa yang berlaku.

“Jangan buat seolah-olah hanya satu pihak yang bersalah,” katanya.

Beberapa hari lalu, timbul desas-desus Ismail akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan kedudukan itu bakal digantikan calon lain.

Bagaimanapun, Ismail dikatakan menafikan perkara itu dan memaklumkan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan berlangsung seperti dijadualkan.

Namun, BN menerusi kenyataan media dikeluarkan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, malam tadi, mengesahkan menerima salinan surat peletakan jawatan Ismail.

Zambry dilaporkan berkata, Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut menerima salinan surat berkenaan.

Bagaimanapun, Pengelola Bijaya Diraja dalam kenyataan pagi ini menjelaskan pihak Istana belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan yang menurut Zambry sudah ditandatangani Ismail.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini