Big Caring sasar buka 50 cawangan farmasi baharu setahun - Utusan Malaysia

Big Caring sasar buka 50 cawangan farmasi baharu setahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Big Caring Group Bhd. (Big Caring) menyasarkan pembukaan antara 40 hingga 50 cawangan farmasi baharu setiap tahun dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang susulan penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Big Caring, Lee Meng Chuan berkata, penyenaraian itu merupakan pencapaian penting bagi kumpulan dalam melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya.

“Ini merupakan pencapaian penting bagi kumpulan. Kami teruja untuk melangkah ke fasa pertumbuhan seterusnya,” katanya ketika berucap pada majlis penyenaraian syarikat itu, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Saham Big Caring membuka dagangan pada harga RM1.05 sesaham, lebih rendah berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak RM1.08 sesaham.

Saham tersebut kemudian susut kepada paras terendah 98 sen dalam beberapa minit pertama dagangan sebelum kembali pulih kepada harga IPO, dengan lebih 107 juta saham bertukar tangan.

Berdasarkan harga terakhir dagangan, kumpulan itu mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM8 bilion.

Daripada hasil terbitan awam sebanyak RM637.8 juta menerusi penerbitan saham baharu, sebahagian besar dana itu akan digunakan untuk mengurangkan pinjaman bank kumpulan yang berjumlah RM1.7 bilion setakat akhir Ogos lalu.

Selain itu, kira-kira RM30 juta diperuntukkan bagi membangunkan pusat pengedaran baharu di Klang, manakala baki RM37.1 juta digunakan untuk membiayai perbelanjaan penyenaraian.

Sebahagian besar pinjaman bank kumpulan digunakan untuk membiayai beberapa pengambilalihan strategik sebelum ini, termasuk pembelian Caring Pharmacy daripada 7-Eleven Malaysia Holdings Bhd. pada 2023 dengan nilai RM888.3 juta.

Kumpulan itu turut membelanjakan RM249.4 juta bagi pengambilalihan pengedar farmaseutikal Medispec serta RM32.8 juta untuk memperoleh pegangan kawalan dalam rangkaian fisioterapi Your Physio.

Lee bersama isterinya, Lim Sin Yin yang kedua-duanya merupakan ahli farmasi terlatih, membuka cawangan farmasi pertama mereka di Damansara Uptown pada 2006.

Sejak itu, kumpulan berkembang ke seluruh negara dengan mengendalikan 668 cawangan dan menguasai hampir satu perempat bahagian pasaran setakat akhir September lalu.

Selain BIG Pharmacy dan CARiNG Pharmacy, portfolio jenama kumpulan turut merangkumi Georgetown Pharmacy, Wellings, Ting Pharmacy dan iCare Pharmacy.

Dalam pada itu, permohonan IPO daripada pelabur runcit melebihi empat kali ganda jumlah saham yang diperuntukkan kepada kumpulan berkenaan, manakala sebahagian besar tawaran itu turut diperuntukkan kepada 19 pelabur utama.

Tawaran jualan saham sedia ada pula berjaya mengumpul RM1.33 bilion, iaitu hampir dua pertiga daripada keseluruhan hasil IPO, yang disalurkan kepada kumpulan pemegang saham termasuk Uptown Paradise Sdn. Bhd. yang diterajui Lee serta firma ekuiti swasta, Creador.

Selepas penyenaraian, Creador memegang kira-kira 19 peratus kepentingan dalam Big Caring, yang berpotensi dikurangkan sebanyak tiga peratus lagi sekiranya opsyen peruntukan lebihan dilaksanakan dalam tempoh 30 hari selepas penyenaraian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini