MENJELANG cuti persekolahan, ramai ibu bapa mula merancang percutian keluarga dan membuat tempahan hotel. Selain keselesaan bilik serta kemudahan rekreasi, pakej sarapan pagi dan bufet makan malam turut menjadi tarikan utama.
Namun, pemilihan hotel bertaraf tinggi tidak seharusnya hanya berdasarkan kemewahan atau tanda ‘Pork-Free’. Pengguna Muslim perlu memastikan dapur hotel mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah kerana label sedemikian tidak semestinya menjamin kehalalan makanan yang disediakan.
Keperluan ini semakin penting susulan pendedahan kegiatan pengedaran produk sejuk beku yang meragukan.
Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Op Taring Chiller dari Januari hingga Oktober 2026 merekodkan rampasan bernilai RM21.51 juta melalui 13 serbuan di seluruh negara, meningkat berbanding RM1.68 juta pada tahun sebelumnya.
Lebih membimbangkan, serbuan di sebuah gudang pemprosesan ayam tanpa sijil halal di Kampung Sri Aman Hilir, Puchong, pada penghujung Oktober lalu mendedahkan penggunaan kejutan elektrik sehingga 130 volt, jauh melebihi had maksimum 10 volt yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Sebahagian ayam turut dilaporkan mati akibat direndam dalam air panas sebelum disembelih oleh pekerja tanpa tauliah.
Menurut kupasan Tinta Mufti Wilayah Persekutuan, kegagalan memastikan ayam masih bernyawa ketika disembelih serta ketidakpatuhan terhadap prosedur Standard Malaysia MS 1500:2019 menyebabkan 6,555 kilogram (kg) karkas yang dirampas dihukum sebagai bangkai, sekali gus haram dimakan dan najis.
Bekalan daripada premis yang dipercayai beroperasi lebih sedekad itu dikatakan telah diedarkan ke beberapa kawasan sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.
Keadaan ini menunjukkan risiko pencemaran rantaian makanan boleh melibatkan pelbagai premis, termasuk dapur komersial yang tidak mempunyai kawalan pembekal berasaskan pensijilan halal.
Perbezaan ketara antara dapur hotel bersijil halal dengan yang tidak memilikinya terletak pada kawalan pemilihan pembekal. Hotel tanpa SPHM tidak tertakluk kepada audit pensijilan halal bagi proses tersebut, sekali gus memberi ruang kepada pengurusan mendapatkan bekalan tanpa pengesahan menyeluruh terhadap status loji sembelihan.
Pengalaman penulis menjalani latihan industri dalam pengurusan pematuhan halal di sebuah hotel lima bintang memperlihatkan ketelitian proses berkenaan. SPHM bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya komitmen untuk memastikan setiap bahan mentah mematuhi kehendak syarak dan piawaian kebersihan.
Sebelum pembekal dibenarkan menghantar ayam, dokumen berkaitan seperti sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) atau Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) serta kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar perlu disemak oleh Eksekutif Halal.
Ketika bekalan tiba, petugas turut memeriksa suhu lori, kebersihan bekas, label bungkusan dan nombor kod loji penyembelihan bagi memastikan semuanya sepadan dengan dokumen yang diluluskan.
Sebarang percanggahan atau keraguan menyebabkan stok ditolak serta-merta. Prosedur penerimaan bahan mentah seperti yang digariskan dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020 menjadi lapisan perlindungan penting daripada sumber yang meragukan.
Pengguna Muslim disaran menyemak status halal dapur hotel sebelum membuat tempahan, antaranya melalui Portal Rasmi Halal Malaysia atau aplikasi Verify Halal. Mereka juga boleh mendapatkan pengesahan terus daripada pihak pengurusan hotel bagi memastikan sijil berkenaan masih sah.
Pada masa sama, pengusaha perhotelan perlu melihat permohonan SPHM sebagai pelaburan untuk membina keyakinan pelanggan, bukan sekadar memenuhi tuntutan prosedur.
Keutamaan terhadap pembekal yang mempunyai pensijilan sah juga dapat mengurangkan permintaan terhadap sumber sembelihan yang tidak mematuhi piawaian halal.
Memilih hotel dengan dapur bersijil halal bukan hanya soal keselesaan menjamu selera, tetapi usaha menjaga kesucian makanan dan keberkatan rezeki keluarga. Kesedaran pengguna serta komitmen industri penting bagi memastikan rantaian bekalan makanan negara lebih bersih, telus dan diyakini. –UTUSAN
AMIRULHAFEZ ABDULLAH
Pelajar Sarjana Muda Pengurusan Halal,
Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS),
Universiti Utara Malaysia (UUM)










