Halal bukan sekadar raih sijil

Halal bukan sekadar raih sijil

KEKUATAN industri halal negara bukan hanya terletak pada jumlah produk yang mempunyai sijil halal, tetapi membangunkan ekosistem perniagaan yang berintegriti dan berdaya saing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELANJAWAN 2027 memperlihatkan komitmen kerajaan kepada pembangunan industri halal.

Antara pengumuman yang wajar diberikan perhatian ialah penyediaan geran padanan sehingga RM5,000 kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang ingin mendapatkan pensijilan halal buat kali pertama selain geran RM25,000 bagi memperkasa PMKS halal dalam sektor seperti kosmetik dan farmaseutikal.

Namun, persoalan yang lebih penting ialah sejauh mana insentif tersebut mampu diterjemahkan kepada peningkatan bilangan syarikat yang benar-benar bersedia memperoleh dan mengekalkan pensijilan halal Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hakikatnya, masih terdapat pengusaha yang belum memiliki pensijilan halal walaupun produk yang dihasilkan berpotensi untuk dipasarkan secara lebih meluas.

Keadaan ini tidak semestinya berpunca daripada kurangnya kesedaran terhadap kepentingan halal, sebaliknya turut melibatkan kekangan dari segi pengetahuan, kemudahan operasi, dokumentasi, sumber manusia dan kemampuan kewangan.

Bagi sesetengah pengusaha kecil, cabaran sebenar bermula sebelum permohonan pensijilan dikemukakan.

Mereka mungkin perlu menambah baik susun atur premis, menyediakan dokumentasi yang lengkap, mengenal pasti status halal bahan mentah atau meningkatkan kefahaman pekerja terhadap prosedur pengendalian halal.

Justeru, geran berpotensi memberikan manfaat lebih besar sekiranya pelaksanaannya disertai program bimbingan teknikal, latihan dan penilaian tahap kesediaan pengusaha sebelum permohonan pensijilan dibuat.

Pendekatan ini bagi mengelakkan keadaan apabila pengusaha menerima bantuan, tetapi masih belum mampu memenuhi keperluan pensijilan disebabkan kelemahan dalam pengurusan operasi.

Geran RM25,000 bagi memperkasa PMKS halal dalam bidang seperti kosmetik dan farmaseutikal turut memperlihatkan pengiktirafan kerajaan terhadap potensi industri halal yang lebih luas.

Kepelbagaian sektor ini membuka peluang kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukan dalam pasaran halal antarabangsa melalui pembangunan produk bernilai tambah, inovasi serta peningkatan keupayaan pengeluaran.

Oleh itu, bantuan kepada PMKS halal sewajarnya disepadukan dengan pembangunan kapasiti pengeluaran, inovasi produk, pemasaran digital dan akses pasaran agar manfaatnya dapat dirasai secara berterusan.

Dalam jangka panjang, pembangunan industri halal memerlukan keseimbangan antara sokongan kewangan, pembangunan kompetensi, pematuhan standard dan pengukuhan integriti.

Langkah memperluas akses kepada pensijilan halal perlu dilaksanakan tanpa mengkompromikan ketegasan syarat yang menjadi asas kepada kredibiliti pensijilan halal Malaysia.

Kekuatan industri halal negara bukan hanya terletak pada jumlah produk yang mempunyai sijil halal, tetapi pada keupayaan membangunkan ekosistem perniagaan yang berintegriti, berdaya saing dan mendapat kepercayaan pengguna.

Belanjawan 2027 telah membuka ruang untuk memperkukuh penyertaan PMKS dalam industri halal. Kini, cabaran seterusnya ialah memastikan peluang tersebut diterjemahkan kepada pembangunan industri yang mampan.

DR. NOR AINA MHD. KHOTIB
Pengarah
Institut Pengurusan Halal
Pusat Pengajian Perniagaan Islam
Universiti Utara Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini