MASYARAKAT Melayu Islam cukup prihatin terhadap soal halal dan haram makanan. Logo halal diperiksa, bahan masakan diteliti dan status restoran dipersoalkan sebelum membuat pilihan.
Namun, apabila terbongkar kegiatan pemprosesan ayam yang disyaki mati sebelum disembelih, kita perlu bermuhasabah sejauh mana prinsip halal benar-benar dipertahankan, khususnya oleh mereka yang mencari keuntungan melalui industri makanan.
Pendedahan menerusi Op Taring Chiller di sebuah premis pemprosesan ayam di Puchong, Selangor, baru-baru ini amat membimbangkan.
Sebanyak 6,555 kilogram (kg) ayam mentah bernilai kira-kira RM85,400 dirampas pihak berkuasa. Menurut laporan Utusan Malaysia pada 2 November lalu, premis berkenaan dipercayai memproses dan memasarkan kira-kira 40,000 ekor ayam sehari, dengan kaedah pengendalian yang menimbulkan keraguan terhadap pematuhan hukum syarak.
Walaupun siasatan masih berjalan, kejadian ini mengingatkan amanah menjaga kehalalan makanan tidak boleh dikompromi. Bayangkan jika ayam yang tidak disembelih mengikut syarak memasuki pasaran sebelum dihidangkan kepada keluarga Islam tanpa pengetahuan mereka.
Dalam hukum syarak, ayam yang mati sebelum melalui penyembelihan sah turut dikategorikan sebagai bangkai dan haram dimakan, meskipun dagingnya masih kelihatan segar.
Pengharaman ini jelas dinyatakan dalam Surah al-Ma’idah, ayat 3. Ini membuktikan status halal bukan ditentukan berdasarkan rupa, kebersihan atau kesegaran makanan semata-mata.
Dalam industri moden, penggunaan kaedah pelalian menggunakan rendaman air berarus elektrik dibenarkan dengan syarat haiwan masih hidup ketika disembelih dan tidak mati akibat proses pelalian.
Ketetapan ini turut diperjelas Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi kenyataan bertarikh 2 November 2026. Oleh itu, integriti pengusaha dan pemantauan rantaian bekalan amat penting bagi memastikan setiap proses mematuhi ketetapan agama.
Teguran ini ditujukan kepada peniaga Melayu Islam yang memahami tuntutan agama tetapi sanggup mengetepikannya demi keuntungan. Ini bukan tuduhan terhadap mana-mana pihak dalam kes Puchong, sebaliknya peringatan supaya masyarakat sendiri tidak mengkhianati amanah pengguna.
Apalah ertinya menggunakan identiti Islam untuk menarik pelanggan jika sumber bahan mentah diragui?
Rasulullah SAW mengingatkan dalam hadis riwayat Muslim bahawa sesiapa yang menipu bukan daripada golongan baginda. Keuntungan yang diperoleh melalui penipuan bukan sahaja menjejaskan kepercayaan pengguna, malah menghilangkan keberkatan rezeki.
Pengguna juga perlu mengubah sikap dengan tidak menganggap makanan yang dijual orang Islam semestinya halal. Bangsa, pakaian dan nama perniagaan bercirikan Islam bukan jaminan pematuhan syarak. Sebaliknya, status tersebut bergantung pada sumber bahan mentah, penyembelihan, pemprosesan dan penyimpanan.
Namun, pengguna yang memakan makanan tidak halal tanpa mengetahui keadaan sebenar tidak boleh disamakan dengan pihak yang sengaja melakukan penipuan. Apa yang perlu dielakkan ialah sikap sambil lewa apabila terdapat keraguan munasabah. Amalan menyemak sumber dan mendapatkan maklumat melalui saluran rasmi perlu diperkukuh.
Pensijilan halal Malaysia menjadi mekanisme penting untuk memberikan keyakinan kepada pengguna. Walaupun ketiadaan sijil tidak secara automatik menjadikan makanan haram, namun pengesahan tersebut membantu memastikan pematuhan melalui pemeriksaan dan pemantauan sistematik.
Pengusaha restoran perlu mengenal pasti pembekal serta memastikan sumber ayam diperoleh daripada rumah sembelih yang mempunyai pengesahan halal sah.
Pihak berkuasa pula mesti memperketat pemeriksaan, mengesan ketidakpatuhan dan mengambil tindakan sewajarnya. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi melindungi integriti industri halal negara.
Akhirnya, jangan jadi Melayu yang menjual bangkai demi keuntungan atau mengambil mudah soal halal sebagai pengguna. Keberkatan rezeki bukan terletak pada banyaknya keuntungan tetapi pada kejujuran dan amanah ketika memperolehnya. -UTUSAN
DR. MUHAMMAD IRHAMMUDIN IBRAHIM
Pensyarah Industri Halal,
Institut Penyelidikan dan Latihan Halal Antarabangsa (INHART), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)










