PETALING JAYA: Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) menggesa penalti lebih berat dikenakan terhadap pihak yang melanggar syarat pensijilan halal.
Gesaan itu susulan ketidakpatuhan terhadap piawaian dan prosedur halal yang dikesan melibatkan sebuah pembekal ayam di Puchong.
Presidennya, Mohamed Azman Shah berkata, Permim turut mencadangkan lesen perniagaan pihak yang didapati bersalah digantung atau dibatalkan, pesalah berulang disenarai hitam dan pemantauan pematuhan halal diperketat di sepanjang rantaian bekalan.
Katanya, kecuaian atau pelanggaran prosedur halal boleh menjejaskan keyakinan pengguna terhadap sistem pensijilan halal negara serta mencalarkan reputasi Malaysia sebagai hab halal global.
“Pensijilan halal bukan sekadar satu keperluan perundangan atau prosedur pentadbiran. Sebaliknya, ia merupakan satu amanah suci yang amat besar kepada umat Islam serta lambang komitmen Malaysia terhadap kualiti, integriti dan nilai-nilai Islam.
“Sebarang pelanggaran yang boleh menjejaskan integriti halal mesti ditangani dengan tegas dan tanpa kompromi agar menjadi pengajaran serta peringatan kepada semua pihak,” katanya dalam kenyataan.
Permim turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan agensi penguatkuasaan terlibat atas tindakan pantas menjalankan pemeriksaan serta menggantung operasi pembekal terbabit. – UTUSAN











