LOS ANGELES: Pemain tenis Russia, Mirra Andreeva menewaskan pemain Amerika Syarikat (AS), Jessica Pegula 6-3, 6-4 untuk mara ke final kejohanan akhir musim Final WTA di Indian Wells, semalam.
Kemenangan di separuh akhir itu menyaksikan pemain berusia 19 tahun yang merangkul gelaran sulung Grand Slam di Terbuka Perancis tahun ini melonjak dari kedudukan ketiga ke tangga kedua ranking dunia.
Andreeva kekal tanpa kalah dalam penampilan sulungnya pada acara perseorangan Final WTA selepas mencatat kemenangan peringkat kumpulan ke atas Svitolina, pemain No.2 dunia, Aryna Sabalenka dan Diana Shnaider.
Dia menjadi pemain termuda mara ke final sejak Maria Sharapova melakukannya ketika berusia 17 tahun pada 2004, selain menyertai Serena Williams dan Chris Evert sebagai pemain yang memenangi empat perlawanan pertama kejohanan itu secara straight set.
“Saya fikir saya boleh berbangga dengan diri sendiri. Saya sangat gembira dengan cara permainan saya.
“Saya juga sangat berpuas hati dengan cara saya mengendalikan tekanan. Saya tahu perlawanan ini membawa taruhan yang besar,” katanya kepada Tennis Channel.
Dalam aksi berkenaan, Andreeva melengkapkan kemenangan dalam tempoh sejam 25 minit.
“Saya gembira dengan ketenangan yang cuba saya kekalkan sepanjang perlawanan. Saya cuba untuk tidak memberikan terlalu banyak peluang kepadanya.
“Pada set kedua, saya sedikit memberikannya ruang, tetapi saya gembira kerana berjaya mematahkan servisnya semula dan cuba bermain dengan lebih agresif.
“Saya sangat gembira dengan persembahan hari ini dan bersedia memberikan yang terbaik pada aksi final,” katanya.
Kejohanan penutup musim berkenaan dipindahkan dari Arab Saudi ke California pada Julai susulan konflik peperangan di Asia Barat.- AGENSI











