KETEGANGAN geopolitik di Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada harga minyak, keselamatan laluan perdagangan dan kestabilan ekonomi dunia, malah berpotensi mengancam satu lagi aspek penting, iaitu kesinambungan bekalan ubat-ubatan serta keselamatan sistem kesihatan negara.
Perkembangan di Eropah menunjukkan kerajaan semakin serius membina simpanan strategik bagi menghadapi gangguan bekalan global.
Strategi Stockpiling Kesatuan Eropah yang diterima pakai pada Julai 2025 merangkumi barangan penting seperti makanan, air, bahan api dan ubat-ubatan. Pendekatan ini mencerminkan perubahan daripada pengurusan krisis secara reaktif kepada persediaan jangka panjang.
Sistem kesihatan moden sangat bergantung pada rantaian bekalan antarabangsa. Bahan aktif farmaseutikal, peralatan perubatan, komponen elektronik dan produk diagnostik lazimnya melalui beberapa negara sebelum sampai kepada pengguna. Gangguan pada satu peringkat boleh menjejaskan pengeluaran serta pengedaran produk berkenaan.
Bagi pesakit yang memerlukan rawatan berterusan seperti insulin, ubat kardiovaskular, antibiotik tertentu dan ubat penyakit kronik, kelewatan bekalan boleh membawa kesan serius.
Simpanan strategik juga perlu dirancang dengan teliti kerana ubat mempunyai tarikh luput serta keperluan penyimpanan berbeza.
Sesetengah produk memerlukan rantaian sejuk yang konsisten bagi mengekalkan kualitinya. Justeru, jumlah simpanan perlu ditentukan berdasarkan keperluan klinikal, corak penggunaan dan kemampuan mendapatkan bekalan gantian.
Selain gangguan fizikal, ancaman digital juga tidak boleh dipandang ringan. Pengurusan hospital, farmasi dan pengedaran ubat kini bergantung pada sistem elektronik yang menyimpan maklumat inventori, pesanan, rekod pesakit serta data pembekal.
Serangan siber seperti ransomware berupaya melumpuhkan operasi walaupun bekalan fizikal masih mencukupi. Hospital mungkin mempunyai stok ubat tetapi kegagalan mengakses sistem inventori menyukarkan petugas mengenal pasti lokasi, baki dan keutamaan pengagihan.
Oleh itu, perlindungan perlu diperkukuh melalui kawalan akses, pengesahan berbilang faktor, penyulitan data, sandaran luar talian dan pelan pemulihan bencana. Simulasi insiden juga perlu dilaksanakan secara berkala bagi menguji kesiapsiagaan institusi kesihatan.
Dalam keadaan tidak menentu, penyebaran khabar angin mengenai kekurangan ubat boleh mendorong masyarakat membeli secara berlebihan atau mendapatkan produk daripada sumber tidak sah.
Kerana itu, Kementerian Kesihatan (KKM), hospital, farmasi dan profesional perubatan perlu menyampaikan maklumat yang tepat, konsisten serta mudah difahami.
Masyarakat juga perlu diingatkan pembelian panik bukan langkah persediaan yang bertanggungjawab kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan akses pesakit lain kepada rawatan.
Malaysia memerlukan pendekatan bersepadu yang merangkumi keselamatan bekalan, perlindungan siber dan komunikasi kesihatan. Pemantauan inventori ubat kritikal perlu dipertingkatkan bagi mengenal pasti produk berisiko, pembekal alternatif serta lokasi simpanan.
Pada masa sama, sistem digital mesti dilindungi supaya operasi dapat diteruskan ketika berlaku gangguan.
Universiti turut boleh menyumbang melalui penyelidikan rentas disiplin. Pakar kesihatan boleh mengenal pasti ubat kritikal, penyelidik keselamatan siber menilai kelemahan infrastruktur digital, manakala bidang komunikasi mengkaji penyebaran maklumat palsu serta keberkesanan penyampaian maklumat kepada masyarakat.
Malaysia perlu melaksanakan audit berkala terhadap kebergantungan import ubat kritikal, memetakan pembekal alternatif serta menguji pelan kesinambungan operasi. Pengurusan stok juga mesti disokong tadbir urus telus, pemantauan tarikh luput dan pengagihan yang adil.-UTUSAN
DR. NIK FATINAH N. MOHD. FARID dan DR. AZIAN MUHAMAD ADZMI
Universiti Utara Malaysia (UUM) dan KIMEP University











