Hentikan kontraktor kuasai perkhidmatan rakyat

Hentikan kontraktor kuasai perkhidmatan rakyat

KERAJAAN perlu memastikan perkhidmatan penting diurus dengan cekap demi keselamatan dan kepentingan rakyat. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAMPIR dua bulan lalu, ribut petir yang kuat melanda kawasan perumahan saya sehingga menyebabkan salah satu kabel internet terputus di hadapan rumah. Mujurlah kejadian itu tidak menjejaskan sambungan telefon dan internet, namun kabel berkenaan berjuntai terlalu rendah dengan bahagian hujung wayar terdedah.

Keadaan itu amat membimbangkan kerana jika ribut petir berlaku lagi dan ahli keluarga saya kebetulan melalui kawasan tersebut, mereka mungkin terdedah kepada risiko renjatan elektrik yang boleh mengancam keselamatan.

Atas kebimbangan itu, saya segera melaporkan kerosakan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi dan meminta kabel berkenaan dibaiki secepat mungkin. Namun, hampir dua bulan berlalu, kabel tersebut masih belum dibaiki.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kira-kira dua minggu selepas laporan pertama, saya sekali lagi menghubungi syarikat berkenaan sambil menyatakan rasa kecewa terhadap kelewatan yang berlaku. Apabila ditanya mengapa kerja pembaikan mengambil masa begitu lama walaupun melibatkan aspek keselamatan, pegawai syarikat menjelaskan pihak mereka perlu menunggu penjadualan kerja bersama kontraktor. Ada kalanya pula kontraktor tidak mempunyai peralatan yang diperlukan untuk melaksanakan pembaikan.

Pengalaman ini bukan kes terpencil. Sebaliknya, mencerminkan masalah lebih besar dalam penyediaan pelbagai perkhidmatan penting kepada rakyat. Skopnya merangkumi pembaikan kabel elektrik, penurapan jalan raya, penyelenggaraan lampu jalan, pemotongan rumput, pembersihan longkang, pungutan sampah, pembaikan laluan pejalan kaki serta pelbagai kemudahan awam lain.

Masalah tersebut sudah berlarutan sejak beberapa dekad lalu apabila kerajaan semakin banyak menyerahkan kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan awam kepada kontraktor swasta. 

Alasan yang sering diberikan ialah kekangan kewangan serta keperluan mengurangkan beban kerajaan. Namun, alasan itu tidak seharusnya menjadi sebab untuk mengabaikan kualiti perkhidmatan yang menyentuh keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

Perkhidmatan penting sepatutnya diberikan keutamaan tertinggi kerana merupakan tanggungjawab asas kerajaan. Apabila kerja penyelenggaraan diserahkan kepada pihak luar, kelewatan, masalah peralatan, kekurangan tenaga kerja dan mutu pembaikan boleh menjejaskan keberkesanan perkhidmatan.

Lebih membimbangkan, kerja yang tidak dilakukan dengan sempurna menyebabkan masalah sama berulang. Kabel rosak kembali bermasalah, jalan yang diturap semula cepat berlubang, lampu jalan terus rosak dan kemudahan awam tidak diselenggara secara konsisten. Akhirnya, rakyat yang menanggung kesannya.

Persoalan dana juga perlu dilihat dari sudut lebih luas. Jika kerajaan benar-benar kekurangan peruntukan untuk mengurus perkhidmatan penting, usaha memastikan sumber kewangan mencukupi perlu menjadi keutamaan. Ketirisan, salah guna dana dan dasar percukaian yang terlalu memihak kepada kepentingan korporat tidak seharusnya mengorbankan keperluan asas rakyat.

Rakyat berhak menerima perkhidmatan awam yang berkualiti, cekap, selamat dan berterusan. Perkhidmatan penting tidak boleh dilihat semata-mata sebagai urusan kontrak atau kos operasi. Ia berkait secara langsung dengan kehidupan seharian dan keselamatan masyarakat.

Sudah tiba masanya kerajaan menilai semula amalan menyerahkan perkhidmatan penting kepada kontraktor swasta. Jika perkhidmatan tersebut menyentuh keselamatan serta kepentingan asas rakyat, kerajaan perlu mempunyai kawalan dan tanggungjawab yang lebih besar bagi memastikan kerja dilaksanakan mengikut standard yang ditetapkan.

Perkhidmatan penting tidak boleh dipandang ringan. Ia mesti diurus dengan penuh tanggungjawab, cekap dan berterusan demi memastikan hak serta keselamatan rakyat sentiasa terpelihara. –UTUSAN

 

RAVEEN VEERASENAN JEYAKUMAR

Ipoh, Perak

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini