RANCANGAN Perkampungan Tersusun (RPT) Gua Sanding diwujudkan bagi membantu penduduk Kampung Jeram dan kawasan sekitarnya yang tidak mempunyai tanah sendiri untuk mendirikan rumah.
Inisiatif ini dicadangkan Jawatankuasa Penaja kepada Pejabat Tanah Daerah Kampar sebagai penyelesaian jangka panjang terhadap masalah penduduk tempatan yang tidak bertanah.
Pelaksanaannya bermula pada 2012 apabila Pejabat Tanah Daerah Kampar memanggil pemohon yang memenuhi syarat untuk menghadiri temu duga. Proses saringan dilakukan bagi memastikan keutamaan diberikan kepada mereka yang benar-benar tidak memiliki tanah.
Bagaimanapun, selepas peringkat tersebut, tiada perkembangan ketara selama lebih sedekad.
Pada 2024, selepas 12 tahun menunggu, peserta yang berjaya akhirnya menerima surat tawaran rasmi. Mereka diminta menjelaskan bayaran meliputi permohonan tanah sebanyak RM500, cukai tanah mengikut keluasan lot, perparitan, upah ukur dan caj berkaitan yang dianggarkan berjumlah RM9,000.
Jumlah itu agak besar bagi peserta yang kebanyakannya berpendapatan rendah. Tambahan pula, bayaran perlu dibuat sekali gus tanpa pilihan ansuran yang fleksibel.
Keadaan tersebut menyebabkan sebahagian pemohon sukar melunaskan jumlah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.
Pada tahun sama, lot tanah turut ditentukan kepada peserta yang telah membuat bayaran. Namun, sehingga kini, urusan berkaitan masih dalam tindakan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Selepas 15 tahun sejak proses awal dimulakan, peserta masih belum mendapat kepastian mengenai penyelesaian hak milik tanah masing-masing.
Kelewatan ini bukan sahaja menjejaskan perancangan peserta untuk membina rumah, malah menyebabkan mereka terus bergantung pada rumah sewa atau menumpang.
Dalam masa sama, keadaan berlarutan boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya apabila urusan melibatkan beberapa agensi.
Sehubungan itu, Pejabat Tanah Daerah Kampar dan JUPEM Perak perlu memberikan penjelasan serta garis masa yang jelas mengenai penyelesaian kerja ukur, pecah sempadan dan pengeluaran hak milik.
Kaedah pembayaran secara ansuran juga wajar dipertimbangkan bagi mengurangkan beban peserta.
Matlamat asal RPT Gua Sanding adalah membantu penduduk yang tidak bertanah memiliki tapak kediaman sendiri.
Selepas 15 tahun, usaha itu tidak sepatutnya terus tertangguh akibat kelewatan pentadbiran. Peserta berhak mendapat kepastian agar impian memiliki rumah sendiri akhirnya menjadi kenyataan. –UTUSAN
YOSRI ABU MAHSIN
Kampung Jeram,
Kampar, Perak











