113 manifesto BN-PN keutamaan Kerajaan Negeri Melaka

113 manifesto BN-PN keutamaan Kerajaan Negeri Melaka

AB. Rauf Yusoh menyantuni pelajar yang menduduki peperiksaan SPM sempena lawatan ke SMK Sultan Alauddin, Kampung Solok Ayer Kelulut, Masjid Tanah hari ini. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka menerima mandat untuk memastikan 113 inisiatif manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan dalam tempoh menjelang 100 hari pertama pentadbiran kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, mandat itu diputuskan dalam mesyuarat pertama Exco yang dipengerusikannya di Seri Negeri semalam, sebagai langkah memastikan setiap janji yang dibuat kepada rakyat selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November lalu dapat direalisasikan.

Beliau berkata, semua Exco telah diberikan tanggungjawab mengikut portfolio masing-masing bagi memastikan pelaksanaan setiap inisiatif dalam manifesto berkenaan berjalan mengikut perancangan, merangkumi tiga fasa utama iaitu 100 hari, setahun dan lima tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, hala tuju pelaksanaan manifesto itu turut dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan bagi membolehkan setiap Exco meneliti semula janji yang perlu diberi perhatian serta menyusun tindakan berdasarkan tempoh pelaksanaan ditetapkan.

“Semalam saya membentangkan hala tuju dalam kita meneroka semula manifesto yang kita janjikan kepada rakyat untuk dilaksanakan dalam masa 100 hari, setahun dan lima tahun.

“Semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah diberikan tanggungjawab untuk memastikan segala janji kita dalam manifesto tersebut dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran kerajaan negeri.

“Dalam tempoh tersebut kita akan cuba menyelesaikan seberapa banyak janji yang terdapat dalam manifesto,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang menduduki kertas Matematik sempena lawatan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Alauddin, Kampung Solok Ayer Kelulut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, pelaksanaan 113 inisiatif berkenaan menjadi antara tumpuan pentadbiran baharu kerajaan negeri selepas BN dan PN memperoleh mandat dalam PRN Melaka pada 14 November lalu.

Beliau berkata, perincian inisiatif yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama akan diteliti dan diperhalusi sebelum diumumkan, memandangkan terdapat pelbagai perkara yang terkandung dalam manifesto berkenaan.

Katanya, pendekatan pelaksanaan secara berperingkat itu membolehkan setiap inisiatif diselaraskan dengan bidang tanggungjawab Exco.

Jelasnya, ia sekali gus dapat memastikan komitmen kerajaan negeri terhadap manifesto dapat diterjemahkan melalui tindakan yang tersusun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini