Lebih 30,000 penghantar makanan foodpanda dilindungi insurans pendapatan akibat banjir - Utusan Malaysia

Lebih 30,000 penghantar makanan foodpanda dilindungi insurans pendapatan akibat banjir

KEWUJUDAN sektor ekonomi gig boleh dan telah memenuhi kelompongan pasaran kerja dengan menawarkan pekerjaan kepada masyarakat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lebih 30,000 penghantar makanan aktif foodpanda bakal menikmati perlindungan pendapatan akibat gangguan banjir menerusi inisiatif perlindungan iklim pertama seumpamanya di Malaysia untuk pekerja gig.

Inisiatif dikenali sebagai Climate Income Protection atau Perlindungan Pendapatan Iklim itu diperkenalkan menerusi kerjasama PolicyStreet dan foodpanda dengan sokongan BlueOrchard, berkuat kuasa 26 November ini tanpa sebarang kos kepada penghantar yang layak.

Perlindungan berkenaan merupakan peluasan kepada skim foodpanda Protect sedia ada yang sebelum ini menyediakan perlindungan terhadap insiden ketika menjalankan tugas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menerusi skim baharu itu, penghantar makanan yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir selama tujuh hari atau lebih layak menerima bayaran sekali gus sebanyak RM350 bagi setiap tahun polisi.

Bayaran berkenaan bertujuan membantu meringankan beban kehilangan pendapatan apabila banjir menjejaskan keupayaan mereka untuk bekerja.

Penghantar yang layak tidak perlu mengemukakan tuntutan atau menyediakan sebarang dokumen bagi mendapatkan bantuan tersebut.

Sebaliknya, PolicyStreet akan bekerjasama dengan foodpanda untuk mengenal pasti penghantar yang disahkan berpindah ke PPS sebelum bayaran disalurkan terus ke akaun mereka menerusi platform foodpanda.

Pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PolicyStreet, Yen Ming Lee berkata, peningkatan kejadian banjir di negara ini menunjukkan keperluan menyediakan perlindungan kewangan yang lebih menyeluruh kepada pekerja ekonomi gig.

Katanya, berdasarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kejadian banjir yang dilaporkan meningkat daripada 809 kejadian pada 2023 kepada 1,345 kejadian pada 2024.

“Pekerja gig yang menjadi antara penggerak utama ekonomi digital negara berdepan risiko kehilangan pendapatan apabila bencana banjir mengganggu operasi dan aktiviti pekerjaan mereka.

“Bagi pekerja gig, banjir bukan sahaja menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan keluarga, malah menyebabkan mereka berdepan kehilangan sumber pendapatan.

“Melalui kerjasama dengan foodpanda, kami mahu memastikan penghantar mendapat sokongan ketika mereka paling memerlukannya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, inisiatif itu selaras dengan komitmen PolicyStreet untuk menjadikan perlindungan insurans lebih relevan dan mudah diakses, khususnya oleh golongan masyarakat yang kurang mendapat liputan perlindungan kewangan.

Kerjasama berkenaan turut mencerminkan aspirasi bersama PolicyStreet dan rakan impaknya, BlueOrchard, yang menyertai pusingan pengumpulan dana Siri C syarikat itu pada Julai lalu.

Pelaksanaan skim perintis tersebut dijangka membantu meningkatkan daya tahan kewangan penghantar makanan yang berdepan risiko bencana alam, selain memperluas skop perlindungan sosial dalam sektor ekonomi gig negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini