KUALA LUMPUR: Pelakon, Wawa Zainal tidak dapat menyembunyikan rasa sedih dan kesal selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memperlihatkan insiden buli membabitkan anaknya, Attar, di sekolah.
Wawa berkata, sebagai seorang ibu, hatinya luluh melihat sendiri apa yang dilalui anaknya, lebih-lebih lagi apabila menyedari beberapa aduan sebelum ini tidak diberikan perhatian sewajarnya.
Menerusi perkongsian di media sosial, Wawa turut merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan guru-guru sekolah anaknya yang bertindak pantas serta mengambil serius perkara berkenaan.
“Terima kasih kepada pihak pengurusan dan guru-guru kerana mengambil tindakan segera serta memandang serius isu buli yang membabitkan anak kami.
“Apabila melihat semula rakaman CCTV, sebagai seorang ibu, hati saya benar-benar luluh melihat apa yang anak sendiri lalui di sekolah,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Wawa turut meluahkan rasa bersalah kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan lanjut setiap kali anaknya mengadu mengalami perbuatan kasar daripada rakan.
Menurutnya, dia pernah menganggap perbuatan tersebut sebagai gurauan biasa antara kanak-kanak, malah berharap pengalaman itu dapat menjadikan anaknya lebih kuat dalam menghadapi cabaran kehidupan.
Bagaimanapun, selepas melihat sendiri rakaman kejadian, Wawa mengakui tanggapannya sebelum ini tidak tepat dan memohon maaf kepada anaknya.
“Buat Attar, anak mama, mama minta maaf. Maafkan mama kerana sebelum ini tidak mengambil tindakan selanjutnya setiap kali abang bercerita tangan abang selalu dipulas dan ditumbuk manja oleh kawan.
“Kononnya mama mahu abang menjadi kuat untuk menghadapi kerasnya dunia. Tetapi selepas melihat sendiri apa yang berlaku, mama sedar perkara seperti ini tidak sepatutnya dianggap sebagai gurauan atau sesuatu yang perlu abang tahan,” katanya.
Wawa berharap kejadian itu menjadi pengajaran besar bukan sahaja kepada dirinya, malah semua ibu bapa supaya lebih peka terhadap setiap aduan yang disampaikan anak-anak.
Katanya, ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak membesar dalam persekitaran yang selamat, selain memberi perhatian terhadap perubahan emosi dan tingkah laku mereka.
“Semoga perkara ini menjadi pengajaran buat kita semua, termasuk diri saya sendiri sebagai ibu bapa. Sama-sama kita lebih peka, mendengar dan memantau anak-anak.
“Bukan sahaja memastikan anak kita tidak menjadi mangsa buli, tetapi juga memastikan anak kita tidak menjadi pelaku buli,” katanya.
Dalam pada itu, Wawa turut mengingatkan ibu bapa supaya menerapkan nilai empati dan rasa hormat dalam diri anak-anak sejak kecil, selain mengajar mereka memahami batas dalam pergaulan.
Menurutnya, sesuatu perbuatan yang dianggap sebagai gurauan oleh seseorang tidak semestinya boleh diterima oleh orang lain, terutama apabila ia melibatkan tindakan fizikal yang menyakitkan.
“Didiklah anak-anak tentang empati, menghormati orang lain dan memahami batas dalam bergurau. Apa yang dianggap gurauan oleh seseorang kadangkala sebenarnya sudah melebihi batas.
“Kita perlu mengajar anak-anak bahawa bergurau bukan alasan untuk menyakiti orang lain, sama ada secara fizikal mahupun emosi,” katanya.
Wawa berharap ibu bapa dan pihak sekolah dapat terus bekerjasama dalam membendung budaya buli serta memastikan setiap aduan murid diberikan perhatian sewajarnya.
Beliau turut berharap kejadian itu menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa tindakan yang dianggap kecil atau sekadar gurauan boleh meninggalkan kesan mendalam kepada mangsa.
Katanya, usaha membanteras buli perlu bermula dengan kesedaran bersama, selain memastikan anak-anak dididik untuk saling menghormati dan berani bersuara apabila berdepan situasi yang tidak selamat.










