IPOH: Cadangan penubuhan sebuah tabung dikemukakan sebagai usaha menyelamatkan pemilikan tanah di Gugusan Manjoi, yang merupakan antara kawasan perkampungan Melayu terbesar di Malaysia.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau mengambil maklum cadangan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan kawasan perkampungan berkenaan.
Beliau pada masa sama mengingatkan para pemilik tanah agar sentiasa mengambil tahu tempoh tarikh pemilikan masing-masing.
“Jangan terlepas tempoh tarikh pemilikan. Kalau itu berlaku, dia (pemilik tanah) kena memohon semula dan proses (permohonan) kembali seperti biasa. Dalam tempoh tiga tahun sebelum tamat, mereka kena memohon untuk pelanjutan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Mohd. Hafez Sabri (Pas-Manjoi) yang mencadangkan penubuhan tabung berkenaan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Gugusan Manjoi yang terletak di Ipoh berkeluasan lebih 500 hektar itu dipercayai telah dibuka sejak lebih 100 tahun lalu dan dianggap sebagai kampung Melayu terbesar di Malaysia.
Saarani berkata, urusan pelanjutan tempoh pajakan tanah di Perak termasuk kampung-kampung dalam Gugusan Manjoi, dilaksanakan berasaskan Seksyen 90A Kanun Tanah Negara (Akta 828) dan Kaedah-Kaedah Tanah Perak 1966.
Katanya, bagi tanah yang masih berbaki tempoh pajakan, pemilik berdaftar boleh memohon pelanjutan tempoh pajakan di bawah Seksyen 90A Kanun Tanah Negara, manakala bagi tanah yang telah tamat tempoh pajakan pemilik asal boleh memohon pemberimilikan tanah Kerajaan di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara.
“Kedua-dua laluan permohonan ini tertakluk kepada pertimbangan pihak berkuasa negeri,” katanya.
Tambahnya, bagi tanah kategori bangunan kediaman, pelanjutan tempoh pajakan boleh dipertimbangkan dan diluluskan sehingga tempoh maksimum 99 tahun, dengan mengambil kira baki tempoh pajakan sedia ada yang masih berkuat kuasa.
“Walau bagaimanapun, had maksimum ini bukan kelulusan automatik bagi setiap permohonan dan semua permohonan tersebut boleh dikemukakan secara dalam talian melalui portal awam e-Tanah Perak,” jelasnya. – UTUSAN











