KUALA TERENGGANU: Sebanyak RM14.99 juta diperuntukkan bagi membantu 5,101 usahawan dan peniaga kecil menerusi Skim Usahawan Bangkit di seluruh negara setakat 23 November lalu.
Daripada jumlah itu, seramai 380 usahawan dan peniaga kecil di Terengganu menerima manfaat menerusi peruntukan RM1.04 juta di bawah Program SejaTi MADANI@Usahawan B40 bagi meningkatkan kapasiti dan produktiviti perniagaan masing-masing.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Negeri Terengganu di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort, di sini hari ini.
Malah peruntukan sebanyak RM1,044,750 itu disalurkan dalam bentuk bantuan peralatan bagi membantu golongan usahawan mikro, penjaja dan peniaga kecil mengembangkan perniagaan serta meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan.
“Saya juga mahu umumkan tambahan RM500,000 untuk usahawan kecil di Terengganu.
“Peruntukkan itu akan disalurkan pada tahun depan bagi membantu lebih ramai usahawan memandangkan masih ramai usahawan kecil di Terengganu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Skim Usahawan Bangkit Terengganu di sini, hari ini.
Skim Usahawan Bangkit merupakan antara inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkasa golongan usahawan B40 dan peniaga kecil yang menjadi penggerak utama ekonomi rakyat.
Bagi memperluas manfaat skim berkenaan, kerajaan menerusi Belanjawan 2027 turut meningkatkan peruntukan geran Skim Usahawan Bangkit kepada RM200 juta.
Dalam pada itu, kerajaan turut menekankan kepentingan pendigitalan bagi meningkatkan daya saing usahawan tempatan, termasuk memanfaatkan potensi produk dan perusahaan berasaskan keunikan negeri Terengganu.
Antara produk berpotensi ialah songket, batik, keropok lekor serta perusahaan berasaskan marin dan pelancongan yang mampu menembusi pasaran lebih luas.
Dalam majlis sama, Kerajaan Persekutuan turut memperuntukkan RM1.497 juta bagi kerja-kerja pembaikan infrastruktur dan fasiliti di 11 institusi pendidikan Islam serta sekolah tahfiz di enam kawasan Parlimen di Terengganu.
Peruntukan itu bertujuan memperkukuh institusi pendidikan Islam selain menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif, selesa dan selamat. – UTUSAN










